Persiap diri ‘jundullah’ untuk depani medan juang

    PASIR SALAK: Ahli dan pimpinan PAS perlu memiliki ciri jundullah pada diri agar mampu bersedia memberi khidmat kepada perjuangan, demikian seru Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Jamaliah Sudin.

    Terutama katanya, ciri ‘alim, haraki dan sufi yang diperkenalkan Muslimat PAS dengan singkatan ‘AKIFI, selain juga tahu membezakan antara keutamaan dan keperluan untuk didahulukan atau dikemudiankan.

    “Sebagai pejuang Islam, kena selalu lakukan Solat Sunat Taubat supaya kita bersih dari dosa. Barulah kerja yang kita buat untuk Islam dan masyarakat ini diterima Allah. Juga ilmu yang kita dapat itu berkat, seterusnya dari ilmu itu kita sebar luas dakwah.

    “Kita juga kena ikhlas jalankan tanggungjawab kepada keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Kena jadi pendengar yang baik, sebab kadang kala kita tak mahu dengar apa yang hendak disampaikan oleh sahabat atau ahli Cawangan,” nasihatnya.

    Advertisement

    Beliau memetik kisah Rasulullah S.A.W yang memberi perhatian saat para Sahabat R.A menyampaikan sesuatu hingga adakalanya ketawa hingga mengalir air mata, sungguhpun hal tersebut lebih dahulu diketahui Baginda.

    Perkara tersebut dititipnya semasa berucap dalam program pertemuan khas Jejak Jentera Muslimat PAS Pasir Salak di Pusat Aktiviti Sosial, Chenderong Balai, di sini baru-baru ini.

    Pertemuan tersebut sebagai menyusun gerakan semasa berikutan perkembangan terbaharu atas perubahan dalam kancah politik negara yang banyak gugatan atas Islam dan menuntut tindakan daripada sekalian jundullah.

    Tekan Jamaliah, antara peranan terbesar jundullah adalah mengembalikan Islam di tempat sepatutnya, selain memastikan masyarakat tidak terpinggir menerima kebaikan Islam, selain unsur mungkar dan penyelewengan mesti dihapuskan.

    Beliau menyeru agar para jundullah selaku tentera Allah yang terpilih agar bersungguh mencari keredhaan Allah baik dalam keluarga, jamaah dan masyarakat.

    Program ini juga diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh pimpinan Muslimat PAS Pasir Salak iaitu Naqibah, Sharifah Rohaya M Shoib dan Pengerusi Lajnah Tarbiyah, Siti Mariam Hassan serta Timbalan Ketua, Ustazah Solehah Shafie. – HARAKAHDAILY 9/1/2020