Tanglung dan kaligrafi ‘ditaati’, khat Jawi ‘dikhianati’

    PUCHONG: ‘Rombongan khas’ pemimpin tertinggi Kerajaan Pusat terhadap isu tanglung yang tular di media sosial adalah satu reaksi gelabah tidak tentu hala, demikian bidas Yang DiPertua PAS Kawasan Puchong, Ustaz Dr Muhamad Zuhaili Saiman.

    Advertisement

    Menurutnya, kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta enam lagi Menteri dan Timbalan Menteri ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 itu adalah janggal dan pelik hanya semata-mata hal sekecil itu.

    Kata beliau, hal tersebut dilihat sengaja diperbesar-besarkan, sedangkan ia memadai diselesaikan secara mudah oleh pihak sekolah dan sesama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu tanpa perlu seramai itu pimpinan kerajaan terlibat.

    Pemasangan tanglung yang berlebihan dan melampaui banyaknya di sekolah tersebut hingga imejnya ‘tenggelam’ dan bertukar seperti pasaraya atau tokong telah menjadi tular dengan menerima reaksi pelbagai daripada banyak pihak.

    “Namun dalam isu besar yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini seperti tulisan Jawi yang ditentang habis-habisan oleh Dong Jiao Zong secara biadab dan tidak menghormati Perlembagaan serta keputusan mahkamah, tidak pula kelihatan Menteri-menteri bersuara dan beraksi seperti isu tanglung ini.

    “Sedangkan, tulisan Jawi dilindungi dalam Perlembagaan kerana ia sebahagian dari ‘Hak dan Keistimewaan’ yang dipelihara menerusi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” ujarnya membidas sisi bersifat perkauman dizahirkan dari reaksi pemimpin PH itu.

    Tempelaknya, terdapat kalangan Menteri dari kaum Melayu bersikap secara amat memalukan dan seperti lupa akan asal usul Tanah Melayu dan hak keistimewaan yang patut dipertahankan, tetapi berlebihan memberi ‘ketaatan’ dalam isu tanglung dan kaligrafi Cina.

    Menurut Dr Zuhaili, secara logik pemerkasaan Jawi sepatutnya menjadi medium menyemai semangat perpaduan antara pelbagai kaum, namun Kerajaan Malaysia Baharu menjadikannya sebagai ‘bom peledak’ kononnya rasis dan mendatangkan ketidakharmonian.

    Jelasnya juga, pemasangan tanglung bukanlah masalah atau bermaksud anti-toleransi dalam merai dan menghormati sambutan perayaan budaya kaum lain, tetapi isunya adalah reaksi besar daripada pimpinan Kerajaan terhadapnya.

    “Tidak perlulah hingga satu ‘rombongan khas’ Menteri turun kemudian diadakan sidang media serta majlis pemasangan tanglung oleh TPM sendiri. Walhal isu yang lebih besar dan serius dipandang sepi sedangkan ia patut diberi penekanan dan diselesaikan pihak kerajaan,” kemukanya.

    Hadir sama ke sekolah itu adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Air Tanah Sumber Asli, Dato’ Dr Xavier Jayakumar; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Luar, Dato’ Saifuddin Abdullah.

    Juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusuf dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. – HARAKAHDAILY 9/1/2020