Jangan sakiti isteri anda

SEORANG lelaki dilaporkan menyiram air panas ke atas tubuh isterinya hanya kerana makanan yang dihidangkan dihurung semut. Tindakan seperti ini tidak seharusnya berlaku. Suamilah yang seharusnya menjaga dan melindungi isteri.

Rasulullah S.A.W sangat melindungi para isterinya. Ketika Safiyyah diejek kerana berketurunan Yahudi, Rasulullah S.A.W memujuk Safiyyah dengan berkata:

Advertisement



إِنَّكِ ابْنَةُ نَبِيٍّ، وَإِنَّ عَمَّكِ لَنَبِيٌّ، وَإِنَّكِ لَتَحْتَ نَبِيٍّ

“Sesungguhnya engkau adalah anak (anak cucu) kepada Nabi, pakcik mu juga Nabi dan suamimu juga Nabi.”

(HR Ahmad)



Pujukan ini diberikan kepada Safiyyah kerana beliau berketurunan Nabi Harun, dan pakciknya pula adalah Nabi Musa. 

Dalam sebuah perjalanan, Rasulullah S.A.W pernah membawa Anjashah sebagai jurupandu unta buat isteri-isteri Nabi. Ketika melihat Anjasha membawa unta dengan laju Rasulullah S.A.W mengarahkan Anjashah supaya memperlahankan unta tersebut kerana khuatir situasi tersebut boleh menyakiti isteri Baginda S.A.W yang berada di atas tunggangan tersebut. Sabda Rasulullah S.A.W:



رُوَيْدَكَ يَا أَنْجَشَةُ، سَوْقَكَ بِالْقَوَارِيرِ

“Perlahan sedikit wahai Anjashah, sesungguhnya (di atas tunggangan itu adalah wanita yang seperti) kaca-kaca (yang dimaksudkan adalah para isteri Baginda).”



Bahkan Rasulullah S.A.W sangat menyantuni isteri-isteri Baginda. Menurut Anas bin Malik, beliau pernah Nampak Rasulullah S.A.W menyediakan tempat duduk (lapik tunggangan) buat Safiyyah supaya beliau dapat duduk dalam keadaan yang selesa. Baginda S.A.W juga duduk sedikit supaya Safiyyah boleh memijak lutut (kaki) Baginda untuk dia naik ke atas tunggangannya.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 10/1/2020