Perkemas konsep didik rakyat berhenti merokok

KERAJAAN digesa untuk memperkemaskan lagi konsep pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang bahana merokok selari dengan polisi larangan merokok di premis makanan yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020.

Advertisement

Saya berpendapat kempen kesedaran seperti Tak Nak Merokok, kaunseling atau perkhidmatan klinik berhenti merokok dan lain-lain perlu diperkasakan lagi demi memastikan peratusan perokok di negara ini termasuk rokok elektronik dapat dikurangkan. 

Usahasama antara Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan-badan awam perlu bagi memastikan kempen ini dapat mencapai sasarannya.  

Berdasarkan laporan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 menyatakan seramai 4.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok dan dianggarkan 27,200 penduduk Malaysia terbunuh akibat penggunaan tembakau pada setiap tahun.

Seharusnya Kerajaan menggembleng usaha dan komited menurunkan 15 peratus perokok menjelang 2025 dan mencapai sasaran negara bebas asap rokok menjelang 2045 di negara ini sejajar dengan Sasaran Global _Non-Communicable Diseases_ (NCD) bagi menurunkan peratusan merokok sebanyak 30 peratus pada tahun 2025.


Selain itu, saya turut menggesa Kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pembinaan ruangan khas merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik PBT di seluruh negara.

Perkara ini jelas sekali tidak mempunyai apa-apa kepentingan bahkan kurang wajar untuk diberi keutamaan pada masa ini.


Tambahan lagi, saya berpandangan perkara ini seolah-olah bertentangan dengan usaha untuk mengurangkan tabiat merokok di tempat awam serta mengamalkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, ia sebaliknya dilihat sebagai suatu galakan kepada masyarakat untuk terus merokok dan tidak mustahil keberkesanan penguatkuasaan larangan merokok yang dilaksanakan juga akan goyah. 

“Islam Memimpin Perpaduan” 
YB CHE ALIAS HAMID Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 10/1/2020