Rakaman audio: Serahlah kepada pihak siasatan

MARANG: PAS menegaskan bahawa rakaman audio yang didedahkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai konspirasi jenayah tertinggi melibatkan perbuatan telefon tujuh individu termasuk dipercayai bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, tidak boleh dijadikan saksi.

Advertisement

Namun, kata Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bahawa rakaman itu hanya satu keterangan yang perlu diserahkan kepada pihak berkenaan untuk siasatan dan pendakwaan.

Menurutnya, pendedahan audio itu kepada umum seolah-olah mahu menjadikan rakyat sebagai hakim.

“Komen saya, audio ini tidak boleh jadi saksi. Audio ini ialah satu keterangan sahajalah yang perlu serah kepada pihak berkenaan untuk siasat. Serah kepada polis, pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak kehakiman.

“Bukan rakyat yang membuat keputusan. Kita ada mahkamah dan kita ada institusi yang menguatkuasakan undang-undang. Jangan pula kita menjadikan rakyat sebagai hakim.

“Rakyat jadi hakim semasa pilihan raya sahaja. Kes yang berkait dengan individu, tak boleh,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan, rakaman audio berdurasi 45 minit itu dipercayai melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah skandal mega syarikat SRC International Sdn Bhd dan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). – HARAKAHDAILY 10/1/2020