Kalau tak setuju jangan biadab

BIARPUN kita tidak bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi, jangan pula bersikap biadab. Sebuah halaman di Facebook baru-baru ini dipercayai menjadi medan netizen dalam kalangan orang Cina, apabila bertindak biadab menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan panggilan ‘nenek sihir rasis’.

Apakah mereka lupa bahawa telah termaktub di dalam Rukun Negara bahawa kesetiaan pada Raja dan Negara adalah sesuatu yang dituntut. Di negara luar, tindakan biadab terhadap Raja boleh dikenakan tindakan yang keras.

Adakah mereka lupa bahawa toleransi Raja-raja Melayu dalam isu kerakyatan sebelum kemerdekaan dahulu membolehkan pendatang warga China diberikan kewarganegaraan dalam pembinaan negara yang harmoni.

Malah penghinaan terhadap tulisan Jawi tidak seharusnya berlaku. Tulisan Jawi adalah warisan bangsa Melayu. Jangan dihina tulisan yang telah merekodkan pelbagai khazanah ilmiah orang Melayu. Adakah mereka tahu bahawa dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 yang ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman ialah dalam tulisan Jawi?

Advertisement

Undang-undang Hukum Islam terdahulu turut direkodkan di dalam tulisan Jawi. Perhatikan sahaja Batu Bersurat Terengganu yang menjadi bukti kepentingan tulisan ini dalam urusan pentadbiran Melayu suatu ketika dahulu.

Sedarkah mereka bahawa Sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr. Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan Jawi dalam buku teks sekolah. Malah menurut beliau, cadangan itu tidak merugikan sesiapa dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa selain tulisan Jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Semangat kebencian terhadap Raja Melayu dan Tulisan Jawi ini tidak lain hanya akan menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Kumpulan penentang seperti Dong Zong mestilah diharamkan. Parti politik yang menyokong Dong Zong seperti DAP dan MCA mestilah menghentikan penentangan ini.

Semoga Allah membimbing kita

DR. AHMAD SANUSI AZMI

Sumber berita:
1. https://www.ismaweb.net/2020/01/08/netizen-cina-gelar-tunku-azizah-nenek-sihir-rasis/
2. http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/25288/Article__4.PDFHARAKAHDAILY 11/1/2020