Pemerintah zalim: Antara kecanduan dan cegah mungkar

ERA Imperialism

(1)     Sekiranya kita meneliti sejarah-sejarah lampau kita akan mendapati projek-projek Imperialism zaman dahulu banyak menyebabkan kepincangan masyarakat.

Kepincangan yang dimaksudkan adalah dari sudut hati dan keimanan. Agama pula tidak boleh dijadikan harapan apabila Kristian sendiri menyeleweng.

(2)     Kristian juga menggambarkan bahawa agama itu sarat dengan Dogmatism, larangan untuk cerdik dan larangan membaca kalam Tuhan yang dimuatkan di dalam Bible.

Bahkan Kristian memerintah Byzantium dengan sistem teokrasi. Bukan setakat itu, sejarah kolonialisasi sejak zaman berzaman membawa manusia kepada kepincangan hati dan jiwa mereka.

(3)     Rakyat rakyat bawahan ditanam untuk bermati-matian mempertahankan maharaja mereka. Maharaja mereka adalah segala galanya.

Arahan maharaja mereka dianggap sama level dengan Tuhan. Doktrin Nasionalism ditanam supaya mereka ada jiwa untuk meluaskan empayar maharaja mereka.

(4)     Sekalipun terpaksa terkorban di medan perang dan terpaksa cacat. Manakala maharaja mereka hanya mahukan takhta kekayaan dan empayar yang luas.

Manakala sang maharaja duduk di kerusi empuk, berjalan di atas karpet merah, menikmati hidangan mewah asalkan terus berkuasa.

Advertisement

Tabiat penguasa

(1)     Realiti zaman dahulu, termasuk era kegelapan Kristian, kita perlu tahu bahawa manusia itu tidak dilandasi oleh agama. Bahkan mereka itu dikuasai oleh nafsu;



قَالَتۡ إِنَّ ٱلۡمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا۟ قَرۡیَةً أَفۡسَدُوهَا وَجَعَلُوۤا۟ أَعِزَّةَ أَهۡلِهَاۤ أَذِلَّةࣰۚ وَكَذَ ٰ⁠لِكَ یَفۡعَلُونَ

“Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.”

(An-Naml: 34)



Di dalam ayat ini menjadi gambaran bahawa Raja-raja terdahulu sudah menjadi perkara biasa, apabila mereka menjajah sesuatu tempat mereka akan beraksi ganas.

(2)     Rakyat-rakyat yang tidak bersalah akan ditindas. Bukan salah mereka, tetapi kegilaan sang penguasa meluaskan empayar masing-masing. Demi menjayakan cita-cita maharaja mereka.

Mereka membunuh orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua sedangkan tentera-tentera itu juga mempunyai ibu bapa yang sudah tua di perkampungan, mempunyai isteri dan anak-anak.

(3)     Konsep Nasionalisme zaman itu mengundang kepada menzalimi orang lain. Mereka juga sedar bahawa mereka tidak ingin dizalimi seperti itu, dan juga tidak mahu dijajah sepertimana yang mereka sendiri lakukan.

Tetapi disebabkan untuk menjayakan hasrat keinginan cita-cita maharaja mereka, mereka yang asalnya manusia biasa terus menjadi rakus dan bernafsu untuk membelasah orang-orang yang tidak bersalah.

Kristian sebagai candu

(1)     Apa yang menjadi realiti zaman tersebut, apabila Raja-raja menjadi zalim, mereka menjadi pemerintah yang rakus. Maka rakyat-rakyat yang tidak bersalah diperhambakan.

Raja kekal berkuasa. Apabila sudah mati anak raja pula yang berkuasa. Apabila anaknya sudah mati cucunya pula berkuasa. Maka atas dasar apa keturunan ini yang berkuasa?

(2)     Manakala rakyat akan ditindas, anaknya apabila dilahirkan membesar juga ditindas, dan cucunya juga ditindas. Keturunannya ditindas.

Atas dasar apa mereka itu ditindas? Rakyat bawahan ditindas diperhambakan untuk merealisasikan cita-cita sang Maharaja, yang untung dalam peperangan sekiranya menang adalah Raja.

(3)     Manakala rakyat akan terbunuh atau menjadi cacat seumur hidup sekalipun peperangan itu dimenangi. Mereka tertanya, kenapa aku mesti jadi hamba?

Mereka bertanya apa sebab aku lahir-lahir terus jadi macai dan hamba. Kenapa aku perlu menjadi robot untuk memuaskan keinginan sang Maharaja?

(4)     Maka persoalan ini terbuku di dalam hati mereka. Andai mereka bangkit menyatakan keinginan untuk bebas daripada Raja mereka, pasti akan terkurung di dalam penjara.

Mereka yang beragama, dapat mengubat jiwa yang lara. Agama Kristian di era kegelapan menjadi candu yang melekakan penganutnya.

(5)     Apabila sang Raja melakukan kezaliman kepada rakyatnya, rakyatnya akan disuruh oleh paderi supaya tidak melawan pemerintah-pemerintah yang zalim itu.

Kerana dengan kesabaran mereka menahan kezaliman itu mereka akan dikurniakan syurga daripada Tuhanmu. Inilah yang dianggap candu oleh Karl Marx dan pengikut-pengikutnya.

Islam menentang kemungkaran

(1)     Agama Kristian terdahulu tiada konsep mencegah kemungkaran. Pemerintah yang zalim akan dituntut untuk bersabar dengan kezaliman itu dan dihiasi dengan elemen-elemen agama.

Maka pemerintah yang zalim bebas melakukan kezalimannya dengan selesa, tanpa dibantah oleh sesiapa. Sebab itu agak rasional Karl Marx mengatakan bahawa agama itu adalah candu.

(2)     Tetapi naluri dan hati manusia tetap mengatakan bahawa mereka yang zalim perlu dibalas seolah-olah Tuhan itu tidak adil sekiranya mereka itu terus menzalimi di atas muka bumi tanpa balasan

Agama-agama dan ajaran-ajaran terdahulu, ada yang menolak kewujudan hari pembalasan. Menyebabkan manusia yang ditindas sehingga akhir hayatnya, merasakan konsep ini tidak adil.

(3)     Sebab itu fitrah manusia akan mengatakan bahawa penzaliman di dunia ini sepatutnya dibalas. Umat Islam yakin dengan perkara ini, menyebabkan mereka sentiasa tenang berhadapan dengan kezaliman pemerintah.

Dalam masa yang sama, Islam tidak sama dengan kecanduan Kristian. Islam mencegah kemungkaran sekalipun dilakukan oleh sang pemerintah.

(4)     Islam tegas memerangi kemungkaran dan kezaliman sekalipun dilakukan oleh pemerintah, sepertimana ungkapan Rub’ai bin Amir kepada tentera musuh;



الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضِيق الدنيا إلى سعَتَها، ومن جَوْر الأديان إلى عدل الإِسلام

“Allah yang mengutuskan kami, untuk mengeluarkan sesiapa yang dikehendakiNya daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah, daripada kesempitan hidup dunia kepada hidup dunia yang luas sehingga ke hari akhirat dan daripada kezaliman ajaran-ajaran lain kepada keadilan Islam.”



Moderate mencandu rakyat

(1)     Sebab itulah apa yang dikatakan sebagai candu itu hanyalah sesuai dengan agama Kristian sahaja kerana Islam menyuruh umatnya untuk mencegah kezaliman pemerintah.

Golongan Moderate pada hari ini biasanya menggunakan hujah dalil hadis Nabi S.A.W supaya mentaati pemerintah dan jangan melawan pemerintah.

(2)     Seolah-olah cuba menggambarkan bahawa Islam itu sepertimana yang diamalkan oleh orang-orang Kristian yang tersesat dalam zaman kegelapan yang diceritakan tadi.

Seolah-olah ‘mencegah kemungkaran pemerintah’ itu tidak ada dalam kamus agama Islam. Inilah yang cuba digambarkan oleh Muslim Moderate.

Mereka cuba mengajak orang Islam hidup bersendiri, tidak menghiraukan kepincangan dan kemungkaran yang dilakukan oleh orang lain, atas nama pahala dan dosa peribadi.
.
(3)     Hal inilah yang menyebabkan agama Islam itu digambarkan seperti gambaran agama Kristian satu ketika dahulu menyebabkan agama itu ditolak.

(4)     Ada juga golongan yang menterjemahkan Islam itu dalam erti kata yang jumud, bagi menyuburkan lagi konsep-konsep Moderate. Contohnya dakwaan bahawa al-Quran itu adalah eksklusif kepada orang tertentu sahaja.

Mereka melarang mana-mana aktiviti tadabbur al-Quran atas alasan orang awam tidak ada kelayakan menafsirkan al-Quran. Mereka cuba menyamakan konsep tafsir dan tadabbur.

Seolah-olah hampir sama dengan realiti yang terjadi pada zaman kegelapan, apabila Bible itu merupakan eksklusif untuk geng-geng gereja sahaja, dan rakyat biasa tidak dibenarkan membacanya.

Penyelesaian Islam

(1)     Apabila masyarakat terdahulu yang terus-menerus dizalimi oleh pemerintah. Maka Islam datang membawa penyelesaian yang dimasukkan dalam feqah.

(2)     Antara yang lain, Islam mendatangkan konsep hari pembalasan. Maka mereka yang berpegang dengan ajaran Islam sentiasa rasa tenang.

Tidak merasa risau dengan kezaliman pemerintah yang tidak lagi mampu dicegah, kerana segala-galanya akan dihitung oleh Allah S.W.T di hari pembalasan.

(3)     Dalam masa yang sama, Islam menuntut umatnya untuk mencegah kezaliman pemerintah ataupun sesiapa sahaja. Menunjukkan bahawa Islam itu bukanlah agama candu

Bahkan Islam mendatangkan penyelesaian bagi mereka yang dizalimi oleh pemerintah sejak sekian lama. Sepertimana yang saya katakan, paderi-paderi terdahulu melarang rakyatnya daripada menjatuhkan pemerintah

(4)     Bahkan membiarkan pemerintah melakukan kezalimannya. Akan tetapi Islam menegaskan supaya pemerintah yang zalim perlu ditentang dan diperbetulkan.

Bahkan, Islam juga mendatangkan penyelesaian untuk menurunkan pemerintah tersebut. Islam tidak sama sepertimana yang digambarkan oleh Moderate atau Kristian terdahulu.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 11/1/2020