Jawi adalah darah daging Malaysia

TULISAN Jawi tidak sama kedudukannya dengan kaligrafi Cina (apatah lagi tanglung) dari sudut apa sekalipun dalam negara ini. Jawi adalah tulisan asal Bahasa Melayu yang diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan. Ia dimasukkan sebagai sebahagian Perlembagaan Malaysia. Ia adalah ciri dan sifat negara kita.

Walaupun tulisan dan huruf lain selain Jawi (dan rumi) dibenarkan diajar, dipelajari dan digunakan seharian, ia tidak boleh menjadi tulisan rasmi kerajaan dan negara,  disamatarafkan dengan bahasa Melayu dan tulisan Jawi dari sudut apa sekalipun. Ia mengundang bahaya.

Berasaskan sejarah negara dan geo-sosial rantau ini, tulisan Jawi tidak boleh dihalang daripada dikembangkan melalui proses pendidikan dan perundangan, sebagai identiti dan jati diri negara Malaysia. Ia bukan sekadar budaya yang diwarisi, tetapi merupakan Perlembangan, teras dan akar tunjang negara ini. Ia adalah darah dalam daging dan urat saraf Malaysia.

Sesiapapun yang mengaku kesetiaan kepada negara Malaysia, wajib menguasai bahasa Melayu dan mengenali tulisannya. Bahasa Melayu adalah bahasa paling mudah di dunia. Ia pernah menjadi Lingua Franca dunia, digunakan oleh lebih 300 juta penduduk planet bumi, malah masih dituturkan dalam urusan perniagaan di beberapa negara luar Nusantara. Jawi adalah tulisan asal kepada bahasa Lingua Franca ini.

Advertisement

Usaha untuk menghalang pengajaran dan penggunaan tulisan Jawi sebagai urusan rasmi kerajaan adalah tidak berperlembagaan, anti-nasional dan boleh menggugat keharmonian. Dalam konteks Malaysia, belajar Jawi bukanlah proses Islamisasi paksa seperti yang dituduh, tetapi adalah proses penataan negara, membina sebuah negara-bangsa yang aman merdeka. 

Halangan dan penentangan kepada proses pembelajaran dan penggunaan tulisan Jawi adalah usaha pihak tertentu untuk mengubah latar belakang negara, memadam sejarah, menukar haluan, merampas dan menjajah secara halus. Ia semakin jelas dan tidak akan dibiarkan begitu saja. Jangan bermain api.

Menggunakan bahasa dan tulisan lain dalam proses pemuliharaan adat budaya, perdagangan, komunikasi dan penyampaian ilmu adalah kebebasan yang terjamin, tetapi bahasa lain itu tidak patut dijadikan alat membangkitkan sifat perkauman, alat menipu, baja rasisme, lambang kelas sosial, syarat kelayakan pekerjaan dan perkakas diskriminasi.

Tidak pernah kita dengar orang Cina di Thailand atau Myanmar berhimpun kerana membantah anak cucu mereka disuruh bertutur, belajar bahasa dan tulisan Thai dan Myanmar. Ia hanya berlaku di Malaysia dan sedang berkembang biak sejak kebelakangan ini. Ada apa dengan mereka ini?

Keamanan dan keharmonian dalam kemajmukan rakyat negara kita dibina melalui proses integrasi. Berintegrasi bukanlah proses saling membunuh, tetapi saling mengenal dan menghormati.

Menjerit-jeritkan ketamakan minoriti bukanlah bermaksud telah berlaku penindasan oleh majoriti yang masyhur dengan budaya, adat, toleransi dan kelembutan mereka, tetapi kerana minoriti ini memang kaum pelampau. Semua mahu dibolotnya. Politikus yang bergayut dengan minoriti pelampau ini kelak akan dikenal sebagai barua seperti ‘Buang’.

Kalau elit politik dulu-dulu dirasuah duit dan kekayaan untuk bekerja bagi pihak minoriti mendapat tanah membina empayar ekonomi, elit politik sekarang dirasuah pula dengan kedudukan dan pangkat pula untuk bekerja bagi pihak minoriti mendapat kuasa.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 12/1/2020