ARC kembang sayap di Tebrau, tambah anggota

TEBRAU: Alternative Riding Club (ARC) Negeri Johor telah meluaskan lagi sayapnya dengan pelancaran ARC Kawasan Tebrau yang diadakan di Kompleks Mutiara Johor Land, di sini malam kelmarin.

Advertisement

Upacara pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Tebrau Ustaz Dr Ezwan Rafiq Husin dengan turut dihadiri Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Negeri Johor Ustaz Makhfoz Borham. 

Dalam ucapannya, beliau berpesan agar aktiviti ARC di medan masyarakat tidak tersasar dari elemen dakwah, tarbiyah dan siasah yang merupakan agenda utama PAS selaku sebuah gerakan Islam.

“Ahli ARC juga perlu ambil tahu hal siasah. Nabi S.A.W mengembangkan Islam dengan cantiknya pemerintahan Islam. ARC bukan sekadar menunggang motosikal, tetapi menunggang untuk mentarbiyah hati dan melihat kebesaran Allah.

“Dalam Islam, aktiviti menunggang sangat sinonim sehingga ada ayat al-Quran dan hadis yang menyebut tentang menunggang kenderaan,” ujarnya.

Turut berucap dalam acara perasmian yang menyempurnakan jumlah keahlian ARC Johor kepada 400 anggota di seluruh negeri Selatan Tanah Air ini ialah Naib Yang Dipertua PAS Tebrau, Azman Atmin.

Majlis Pelancaran ini turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan buskers PAS Kawasan Tebrau yang merupakan sebahagian kegiatan di bawah DACS. – HARAKAHDAILY 13/1/2020