DACS Gombak riadah bersama belia AU4

GOMBAK: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Gombak telah melangsungkan aktiviti riadah bersama dengan mengadakan perlawanan persahabatan bola tampar antara Pemuda PAS Kawasan Gombak dengan belia AU4.

Advertisement

Aktiviti diketuai Pengarah DACS Gombak, Mohd Afif Abd Aziz ini telah berlangsung dengan jayanya di Padang Bola Tampar, Padang Permainan AU4, di sini petang semalam.

Menurut Mohd Afif, aktiviti ini diadakan untuk mengeratkan ukhuwah dengan belia tempatan sambil menarik minat mereka untuk mengenali lebih dalam mengenai PAS.

“Walaupun kami (PAS) bukan parti pemerintah negeri mahupun parti mewakili ADUN di Hulu Kelang, tetapi kerja-kerja dakwah dan hubungan yang baik dengan masyarakat tetap kami jalankan.

“Insya-Allah DACS Gombak akan mengadakan perlawanan persahabatan dalam acara badminton dan juga futsal bersama dengan penduduk dan belia di sekitar Gombak ini,” ujarnya berusaha menarik lebih ramai lagi pemuda untuk bersama-sama dengan PAS.

Seramai 20 anak belia tempatan hadir ke program tersebut dan juga turut dihadiri Setiausaha Pemuda PAS Gombak, Ustaz Mohd Abd Muhaimin Mahamaddim bagi memeriahkan aktiviti tersebut. – HARAKAHDAILY 13/1/2020