G25 kumpulan Liberal kelirukan isu murtad

PAS mengutuk sekeras-kerasnya kelancangan kenyataan kumpulan G25 berkenaan hukum murtad.

Advertisement

Terang lagi bersuluh, G25 adalah sebuah kumpulan yang semakin berani membawa ideologi sekular yang berbahaya kepada umat Islam di Malaysia.

Kumpulan ini berpendirian bahawa segala salah laku di sisi agama tidak seharusnya dikenakan tindakan kerana “itu urusan individu dengan Tuhan”. Prinsip yang menyimpang dari agama ini diperjuangkan bagi merealisasikan kebebasan bersuara mereka.

Sejak dari dulu, kumpulan ‘Bekas Penjawat Awam’ ini telah ditolak oleh rakyat. Hatta, buku yang mereka pernah terbitkan telah diharamkan oleh  kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Namun malangnya, pengharaman ini telah ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Akibat daripada sikap keterbukaan melampau kerajaan PH, golongan ini semakin lantang bersuara dalam mengeluarkan kenyataan mempersendakan hukum murtad dengan menyatakan ia isu peribadi serta tiada hukuman duniawi sedangkan Islam meletakkan hukuman yang sangat tegas kepada pelaku murtad. Begitu juga kenyataan-kenyataan seperti khalwat, zina, minum arak dan sebagainya yang menunjukkan betapa jahilnya mereka di dalam menilai hukum agama Islam serta Perlembagaan Negara.

Turut membimbangkan, G25 sering kali menentang apa sahaja tindakan JAKIM bagi merealisasikan agenda negara sekular mereka bahawasanya tiada badan beragama dalam sesebuah negara.

PAS menggesa agar pihak berkuasa mengharamkan kumpulan liberal ekstrem ini kerana membawa pemikiran bahaya dan sesat yang boleh meracuni rakyat Malaysia lain.

PAS juga menyeru Menteri Agama untuk bersikap responsif terhadap isu ini dan mengambil tindakan tegas bagi menangani, menyekat pergerakan, ideologi kumpulan ini.

Serangan pemikiran zaman moden ini boleh merosakkan akidah umat Islam jika tidak dicegah sehingga akar umbi sebelum lebih parah.

Selamatkan Aqidah Umat, Malaysia Negara Islam.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional Membina Malaysia Sejahtera”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Januari 2020 | 18 Jamadilawal 1441 – HARAKAHDAILY 13/1/2020