Muslimat Subang masuki 2020 dengan tamrin dan bengkel

SUBANG: Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Kawasan Subang telah menganjurkan Tamrin dan Bengkel Pengurusan Organisasi di Subang Jaya, di sini kelmarin.

Advertisement

Program pemantapan dalaman ini bertujuan melengkapkan Muslimat PAS Subang sebagai antara 12,000 Jundullah yang menjadi agenda persiapan PAS untuk mencapai kemenangan.

Ianya juga sebagai memperkemaskan lagi pengurusan organisasi, selain memperkasakan Muslimat dengan ukhuwah dan tarbiyah AKIFI sebagaimana telah ditetapkan oleh Muslimat PAS Pusat.

Penyertaan program ini melibatkan seluruh Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kawasan dan juga Cawangan-cawangan di mana turut menjalankan Street Dakwah di Kompleks Eco Subang Mewah.

Tamrin diisi dengan kupasan khas bertajuk ‘Muslimat Pembangun Ummah’ oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Kawasan Pandan, Ustazah Suraya Muhammad selaku penceramah jemputan.

Beliau menekankan kepentingan amal jamaie serta ciri-ciri ibadurrahman dalam diri, selain kesediaan Muslimat untuk mendepani masalah umat yang kian rencam masa kini.

Ketua Muslimat PAS Subang, Nor Zarina Mohd Azhar pula menyuntik kesepaduan anggotanya menerusi pembentangan kertas kerja pengurusan organisasi dengan menekankan kerjasama dan kesungguhan.

Aktiviti Street Dakwah berkumpulan pula mendedahkan langsung anggota Muslimat PAS Subang kepada masyarakat dengan menyantuni setiap warga ditemui dengan sapa, salam dan senyum.

Program pembuka tirai tahun 2020 ini telah diakhiri pada sebelah malamnya dengan munajat khusus yakni zikir dan doa, selain solat hajat memohon kesejahteraan Muslim Uyghur. – HARAKAHDAILY 13/1/2020