Muslimat usaha pertahan amalan berzanji di Johor

MUAR: Budaya berzanji cukup popular dalam amalan kemasyarakatan di negeri Johor sejak dahulu, terutamanya sempena sambutan majlis Maulidurrasul, namun seakan telah dilupakan oleh generasi kini.

Advertisement

Malah, amalan berzanji dalam masyarakat dahulu telah menjadi ‘wajib’ dibaca bersama khatam al-Quran oleh pengantin perempuan pada malam berinai sebelum majlis akad nikah dilangsungkan.

Tetapi menurut Ketua Muslimat PAS Negeri Johor, Ustazah Fatimah Ismail, amalan ini sudah semakin terhakis dan mungkin akan terus pupus jika tidak disuburkan dalam generasi masa kini.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis sambutan Maulidurrasul anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Kawasan Muar yang diadakan di PASTI Al-‘Amaliyyah, di sini kelmarin.

Kesali beliau, golongan muda khususnya remaja perempuan, bahkan ibu bapa mereka sudah tidak berminat untuk mengadakan majlis seperti itu lagi kerana mengikut arus kemodenan seperti nyanyian artis serta karaoke.

Kini rinduinya, tiada lagi kedengaran suara gadis-gadis muda mengalunkan bacaan khatam al-Quran, berzanji dan berselawat beramai-ramai dalam majlis pernikahan mereka.

Tambah beliau, sepatutnya lebih elok jika berzanji itu turut dibaca dalam Bahasa Melayu agar dapat lebih difahami, dihayati isi kandungan kitab berzanji yang penuh dengan kisah-kisah Nabi Muhammad S.A.W.

“Dengan menghadirkan diri ke majlis memperingati Rasulullah ini juga boleh memupuk rasa cinta dan tanda kasih kita kepada baginda. Melalui alunan selawat dan ditambah dengan tazkirah ilmu akan dapat menarik rahmat Allah untuk memberkati kita semua.

“Bagi golongan wanita khususnya, dengan mendengar sirah Nabi moga dapat diambil iktibar untuk mengamalkan segala sunnah baginda terutama dalam menjaga lidah dan tutur kata.

“Nabi adalah Uswatun Hasanah terutama dalam menjaga kata-kata. Baginda sentiasa lunak dalam berkata-kata. Jadikan lidah sebagai kekuatan wanita untuk menarik dan mendidik suami dan anak-anak serta juga sebagai alat untuk berdakwah.

“Setiap kali tibanya Maulidurrasul, tanamkan azam untuk membaiki diri dan mencontohi Rasulullah,” ujarnya turut mengupas ayat 7 surah al-Hasyr yakni supaya bertakwa dengan mengikut setiap teladan daripada Rasulullah.

Seru beliau, umat Islam sebelum datangnya Hari Kiamat harus sentiasa menjaga kesucian agama dengan sentiasa menghadiri majlis ilmu, menghormati dan memenuhi panggilan azan dan rasa bersyukur kerana masih mendengar sahutan itu.

Fatimah juga menasihati supaya menjadi umat yang sentiasa mencari keredhaan Allah dengan menyediakan bekalan akhirat sebanyak-banyaknya, walaupun tidak dipandang oleh manusia ketika melakukannya.

Majlis sambutan ini turut diserikan dengan bacaan al-Quran oleh Ikon Muslimat Muda Muar, Nuraini Shabudin dan alunan selawat serta bacaan berzanji oleh Ameerah Muar.

Kemeriahan majlis dilengkapkan lagi dengan tradisi lama Maulidurrasul ala Johor iaitu edaran bunga telur dan bunga rampai diberikan kepada jemputan yang hadir.

Pimpinan PAS Kawasan Muar yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang DiPertua Abd Aziz Talib bersama Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Cheman Yusoh dan Dr Mohamad Taslim. – HARAKAHDAILY 13/1/2020