Wajib rasa tercabar bila Islam digugat

KUALA KANGSAR: Ahli PAS selaku jentera seharusnya merasa tercabar dan mesti bangun membela terhadap pelbagai dakyah ditimbulkan oleh pihak tertentu terutama yang merungkai hak dan maruah agama Islam.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS, Ustaz Azizan Mohamed Desa berkata, golongan bukan-Islam yang diterajui DAP mutakhir ini semakin berani mencabar dan menggugat setiap perkara berkaitan Islam sewenangnya.

Perkara itu ditegaskan dan diperingatkannya dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PAS Cawangan-cawangan dalam Kawasan Kuala Kangsar di Kompleks PAS Bukit Chandan, di sini kelmarin.

Menurutnya, pertentangan seumpama telah berlaku sejak zaman para Nabi terdahulu dan tidak akan berakhir hingga Hari Kiamat di mana setiap pejuang PAS mesti menghadapinya dengan kekuatan ilmu.

“Seharusnya dengan keadaan ini, setiap ahli PAS perlu bangkit dan ambil tahu hal semasa, dan dalam usrahlah medan kita membincangkannya,” nasihat beliau.

Jelasnya, dengan kekuatan ilmu membolehkan berhujah menangkis fitnah, selain mengikuti perkembangan politik semasa agar mampu menangani segala kejahatan dihadapkan musuh terhadap perjuangan Islam.

Beliau turut menasihatkan supaya sentiasa membetulkan niat berjuang untuk mencari keredhaan Allah dan menjauhi kepentingan lain, serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab di mana-mana peringkat parti sekalipun.

Ustaz Azizan juga menyeru supaya perjuangan suci yang didukungi ini diwarisan kepada anak cucu generasi akan datang untuk meneruskannya hingga matlamat memartabatkan Islam tercapai di atas muka bumi Allah.

Hadir sama pada perasmian tersebut adalah Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim bersama para pimpinan PAS Kawasan dan Cawangan seluruh Kuala Kangsar. – HARAKAHDAILY 13/1/2020