17 tahun menunggu hak dikembalikan

KISAH panjang seorang rakyat marhaen dari Kampung Bukit Tanah, Jabi untuk mendapatkan hak milik atas sebidang tanah pusaka peninggalan arwah ayah yang telah diusahakan sejak berpuluh tahun yang lalu.

Kelulusan untuk bayar Jadual 5A (bayaran premium tanah) telah diperolehi pada tahun 2003, di zaman pemerintahan Kerajaan PAS Terengganu. Bayaran premium yang dikenakan telah dijelaskan oleh pemohon.

Advertisement



Walau pahit, saya terpaksa imbas sejarah yang telah berlalu. Sebelum sempat geran hak milik dikeluarkan, berlaku perubahan Kerajaan Negeri pada 2004. Pemohon telah menerima surat memaklumkan bahawa kelulusan pemberian hak milik tanah telah dibatalkan semula dan pemohon diminta hadir ke Pejabat Tanah untuk menuntut balik bayaran premium yang telah dijelaskan.

Kecewa memang kecewa. Apatah lagi lot tanah tersebut telah diusahakan oleh arwah ayahnya sejak berpuluh tahun, tidak bertindih permohonan dengan sesiapa dan tidak ada sebarang kepentingan projek kerajaan atas tanah tersebut.

Atas dasar keyakinan bahawa suatu hari nanti, hamba Allah ini akan dapat semula haknya yang dinafikan, surat supaya datang ke Pejabat Tanah untuk ambil balik semula wang yang dikembalikan tidak diendahkan. Biarlah pitih itu duduk situ!

17 tahun bukan tempoh yang singkat. Petang kelmarin masa program masuk kampung, surat dan bukti pembayaran bertarikh tahun 2003 diserahkan kepada saya. Menitis air mata saya tengok keadaan surat. Begitu lama rakyat yang tak berdaya memendam rasa. Walau kertas surat telah lusuh, segala butirannya masih jelas. Sesuatu keadilan, kalau tak sempat dikembalikan di dunia ini, tetap akan dikembalikan di akhirat kelak.

Saudara kita ini akan dapat haknya semula seberapa segera. Dasar dalam Manifesto Kerajaan Negeri Terengganu, rakyat yang terkilan seperti ini akan diberikan geran hak milik tanpa perlu membayar apa-apa bayaran lagi. Saya telah mohon Pejabat Tanah Besut untuk mengambil tindakan segera. Semoga Allah permudahkan urusan kami.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu – HARAKAHDAILY 14/1/2020