G25: Perlu buktikan rasional tidak bertuhan

HUJAH G25

(1)     Hari ini G25 timbulkan isu kebebasan murtad. Mereka menyeru ke arah itu. Kita sebagai Umat Islam perlu berfikir bagaimana menghalang orang murtad secara akal.

Hari ini Undang-undang Malaysia yang masih ada, masih menutup laluan-laluan mudah untuk murtad. Maka, sudah semenangnya kerja mereka untuk perjuangkan kebebasan sengal itu.

(2)     Berdasarkan dapatan di alam maya, boleh saya senaraikan beberapa hujah rasional mengikut pandangan G25, yang mengharuskan murtad.

a-     Tidak ada asas dalam Perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang.

b-     Tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan. Oleh itu tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.

c-     Keputusan seseorang umat Islam keluar dari agamanya ialah urusan antara individu itu dengan Tuhan.

Apa yang boleh dirumuskan, hujah mereka sekitar 3 perkara, iaitu undang-undang, agama dan rasional. Beberapa perkara perlu difahami terlebih dahulu.

(3)     Apa yang saya cuba bawa perbincangan dalam artikel ini bukanlah untuk mempamerkan undang-undang larangan murtad, atau dalil al-Quran.

Ini kerana, saya bukanlah pakar undang-undang. Manakala dalil dari segi agama, mereka bukan pakai pun. Sekadar perguna sebahagian dalil dan ditafsirkan dengan andaian.

Advertisement

Apa bukti mewajarkan murtad?

Apa yang boleh kita bincangkan di sini ialah dari sudut rasionalisasi orang-orang untuk murtad keluar daripada agama Islam. Apa hujah logik mereka?

(1)     Antara perkara pertama yang perlu kita faham, mereka menuntut kebebasan murtad, seolah-olah mendakwa mereka ada hak untuk murtad.

Sepertimana yang diungkapkan G25, tiada siapa boleh dipaksa untuk mempercayai tuhan. Ini adalah kebebasan individu, kata mereka. Iaitu bebas percaya atau tidak.

(2)     Menurut mereka, kepercayaan itu adalah kebebasan. Bebas sama ada nak percaya atau tidak. Cuba fikirkan, secara logiknya seseorang itu yakin atau percaya kerana ada bukti (proof).

Manakala ketidak-percayaan terhadap sesuatu itu juga disebabkan ketiadaan bukti. Ini dasar logik, yang diterima oleh semua manusia.

(3)     Apabila ada seseorang mendakwa handal memasak, maka tunjukkanlah bukti (proof) kehandalan itu. Sama ada memasak ‘on the spot’ atau tayangkan sijil-sijil pengiktirafan.

Mana mungkin seseorang itu boleh ‘dipercayai’ handal tukang masak, tanpa menunjukkan sebarang bukti. Ini laras logik bersama antara kita dan G25.

Maka, untuk berhujah dengan G25, kita perlu buktikan kepada mereka bahawa setiap orang wajib percaya (beriman) dengan Allah S.W.T dan kekuasaanNya.

Manusia diciptakan oleh ibu bapa mereka?

(1)     Antara bukti kekuasaan Allah S.W.T ialah mencipta semua manusia, termasuk Siti Kassim dan Asiah. Dengan wajah yang berbeza dan cap jari yang berbeza.

Satu dunia mengakui bahawa setiap orang pasti ada perbezaan dari segi rupa. Setiap manusia itu diciptakan oleh Allah S.W.T, sepertimana yang kita imani.

(2)     Mungkin mereka berhujah, penciptaan manusia adalah perkara semulajadi. Ada bapa, ada mak, maka jadilah anak. Itu formula mereka.

Soalannya ialah, manusia pertama di dunia ini siapakah bapa, dan siapakah maknya? Al-Quran ada jawapannya, iaitu Allah S.W.T menciptakan manusia pertama daripada tanah.

Iaitu tanpa bapa dan mak. Jadi, golongan yang berhujah dengan semulajadi pastinya tak mampu jawab tentang asal usul diri mereka sendiri.

(3)     Kalau mereka bersandar kepada teori Darwin yang mengatakan manusia itu berasal daripada beruk, maka beruk juga ada bapa dan maknya.

Maka, beruk yang pertama datang dari mana kalau bukan Allah S.W.T yang ciptakan daripada tiada, sepertimana manusia pertama, iaitu Nabi Adam A.S.

(4)     Kalau mereka katakan manusia pertama tercipta daripada tanah secara semulajadi, maka kenapa tanah-tanah yang ada hari ini tidak jadi manusia pun?

Hujah Syeikh Abdullah Nasih Ulwan

Di dalam buku شبهات وردود حول عقيدة الربانية karangan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan mendatangkan dua contoh untuk menyanggah golongan yang berhujah dengan kesemulajadian.

(1)     Beliau mengumpamakan sebuah kilang percetakan yang terdapat ribuan font (huruf) yang diletakkan dalam bekas berasingan mengikut abjad.

Lalu berlakulah gempa bumi. Bekas-bekas yang mengisi huruf-huruf yang banyak tadi tercampak di atas lantai, sehingga membentuk karangan yang panjang.

Sangat tak logik. Sudah pasti akal manusia akan mengatakan pasti ada orang yang menyusun huruf-huruf tadi sehingga membentuk karangan daripada huruf-huruf yang sepatutnya berterabur itu.

Mana mungkin huruf-huruf itu tersusun dengan sendirinya sehingga menjadi sebuah karangan yang menarik, akibat gempa bumi tadi.

(2)     Contoh yang kedua, seorang kontraktor ingin meruntuhkan sebuah bukit. Lalu dipasang peledak di sudut-sudut, dan diletupkan. Tiba-tiba hasil letupan itu, terbinalah sebuah istana yang tersergam indah.

Tak logik. Pasti akal manusia tidak boleh menerima istana itu terbina dengan sendirinya. Pasti ada orang yang menyusun batu-batu itu.

(3)     Begitulah realiti kuasa Allah S.W.T. Mana mungkin alam yang hebat ini terjadi dengan sendirinya. Mana mungkin tubuh manusia dan akalnya tercipta dengan semulajadi.

Apa rasional untuk murtad?

(1)     Jadi, apa logiknya untuk tidak percaya dengan kekuasaan Allah? Kalau mereka andaikan ibu bapa yang ‘mencipta’ anak mereka, sila lah lahirkan anak serupa artis-artis idola mereka.

Alam semesta yang indah ini, bumi berpusing pada paksinya, begitulah planet-planet lain. Mana mungkin tercipta dengan sendirinya.

(2)     Mereka terpaksa akui bahawa alam semesta ini dan diri mereka sendiri dicipta oleh Allah S.W.T. Ini sebagai bukti bahawa Allah S.W.T itu Tuhan yang wajib dipercayai.

Tak logik kalau mereka hujahkan Allah itu berkuasa, tapi bukan tuhan. Kalau mereka katakan ada juga manusia yang berkuasa, sila datangkan bukti.

(3)     Antara catatan sejarah, ada 3 manusia yang paling berkuasa dalam dunia. Raja Namruz Babylon, Nabi Sulaiman A.S dan Raja Iskandar Zulqarnain.

Hal ini disebut di dalam الكامل في التاريخ karangan Imam Ibn Athir. Dalam catatan sejarah juga menceritakan Raja Namruz yang didakwa berkuasa itu, mati disebabkan nyamuk.

(4)     Setiap manusia pasti mati. Sekiranya dia berkuasa, sepatutnya dia berkuasa untuk menolak kematian. Maka, dakwaan mereka bahawa manusia juga berkuasa adalah tertolak.

(5)     Jadi, yang perlu G25 buktikan ialah apakah kewajaran untuk seseorang itu tidak mempercayai Allah S.W.T sebagai Tuhan? Apakah asas rasionalisasi mereka?

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 14/1/2020