PAS pertingkat, kembang pencapaian dan keberkatan

KEMAMAN: PAS berusaha memastikan kesepaduan antara unsur pembangunan fizikal dan roh iaitu meliputi aspek pencapaian dan keberkatan sentiasa seiring menjadi amalan dalam urus tadbir organisasi parti ini.

Advertisement

Bahkan, perkara sama juga PAS interpretasikan kepada masyarakat dalam bentuk pemerintahan kerajaan ataupun negara, demikian menurut Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

“Baik pengurusan organisasi mahupun pentadbiran pemerintahan kerajaan juga negara, kita (PAS) sentiasa menekankan dua aspek ini. Iaitu pertama; yang dapat dihitung, dikira, diukur ‘measurable’ atau ‘tangible’.

“Kedua; aspek yang tidak dapat dikira dihitung dengan mata kasar iaitu ‘unmeasurable’ atau ‘intangible’,” ujarnya menerangkan proses penilaian pelaksanaan dan pencapaian sasaran yang semakin diperkasakan dalam PAS ketika ini.

Perkara tersebut diterangkan beliau ketika menyatakan fokus dari program Permukiman Pemuda PAS Malaysia yang telah diadakan di Darul Iman Training Centre, di sini kelmarin.

“Sebagai contoh, yang telah diukur dalam Permukiman Dewan Pemuda PAS Malaysia ini; apa program telah kita buat? Itu aspek yang ‘tangible’. Berapa bajet telah belanjakan, berapa lagi diperlukan untuk tempoh 6 bulan berikutnya? Itu ‘tangible’.

“Namun satu lagi perkara yang kami ambil kira juga iaitu aspek ‘intangible’ (iaitu) merujuk untuk keberkatan, mendapat keredhaan Allah, soal dosa pahala,” kemuka beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Terang usahawan muda ini, hal tersebut bukan sahaja menjadi tarbiyah dan amalan di dalam keorganisasian PAS dan urus tadbir kerajaannya, tetapi dipastikan terdidik dalam segenap aspek kehidupan masyarakat.

“Dalam keluarga misalnya, seorang ayah ataupun ibu, perkara yang selalu menjadi kerungsingan atau bebanan selaku ketua keluarga ialah cukup atau tidak pendapatan. Untuk perbelanjaan isi rumah, beli kelengkapan asas? Cukup itu dinilai dari sudut berapa gaji atau hasil keuntungan sebulan.

“Namun, aspek lain yang kena dilihat ialah keberkatan. Maknanya dengan gaji yang dapat itu berkat ataupun tidak, halal ataupun tidak? Ada benda yang syubhah, keraguan ataupun tidak? Inilah aspek ‘intangible’. Ada orang dia dapat gaji sikit, tetapi dia cukup makan untuk keluarga, dia tak minta dengan orang, tak berhutang.

“So, itu tanda berkat. Begitu juga kita dalam pengurusan organisasi, kadang-kadang kita letakkan ‘target’, tapi kita capai kurang daripadanya ataupun kita capai lebih daripadanya. Namun, pencapaian itu hanyalah berbentuk angka atau kuantiti, dia tidak membawa kepada kualiti.

“Adakah dengan berjayanya kita buat program yang banyak, kita menghabiskan perbelanjaan besar, menjadikan ahli-ahli PAS ini semakin meningkat tahap kefahaman dia kepada gerakan Islam, semakin kuat daya juangnya terhadap aktiviti-aktiviti untuk memperjuangkan Islam?

“Jadi, adakalanya kita buat program banyak, tapi orangnya sama, perangainya tak berubah. Di situ mungkin ada elemen-elemen yang tidak membawa kepada keberkatan,” ujarnya bermuhasabah dan mengajak berubah lebih baik. – HARAKAHDAILY 14/1/2020