Tahniah kepada KP JAKIM yang baru

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato Paimuzi bin Yahya atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baru.

DUPP mendoakan agar beliau diberikan kekuatan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang besar ini bagi memastikan kemajuan dan kecemerlangan JAKIM bagi mengangkat syiar agama dan ummah serta negara yang lebih baik.

DUPP percaya dan yakin bahawa dengan latar belakang beliau yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam perkhidmatan awam serta pengalaman luas ketika menerajui JAKIM Sabah, ILIM, Darul Quran JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah JAKIM adalah menepati kriteria dan bersesuaian pada masanya.

Dalam situasi politik yang semakin mencabar dengan pelbagai isu yang menyentuh soal sensitiviti agama serta kedudukan institusi keagamaan ini, diharapkan beliau tabah dan cekal dalam memperanankan fungsi JAKIM sebagai salah satu entiti penting dalam skop tugasan yang melibatkan hal ehwal keagamaan.

Firman Allah S.W.T:

Advertisement



إِنَّاۤ أَنزَلۡنَاۤ إِلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَاۤ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَاۤىِٕنِینَ خَصِیمࣰا

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.”

[An-Nisa’: 105]



Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 15/1/2020