Tegahan ucapan takziah selepas 3 hari

KETIKA mengalami kehilangan insan terdekat, kita akan melalui sebuah proses grieving. Keadaan tersebut digambarkan melalui beberapa jenis perasaan. Antaranya; Denial, anger, bargaining, depression dan juga acceptance.

Teori fasa grieving ini menjadi popular setelah seorang psikiatris Swiss-Amerika menulis buku bertajuk ‘On Death and Dying’, menerangkan mengenai 5 keadaan ketara yang dialami seseorang ketika berdepan kehilangan.

Grieving adalah sangat normal. Dalam seumur hidup kita, kebiasaannya kita akan melalui fasa ini. Ia boleh berlaku ketika kita kematian ahli keluarga, kehilangan satu-satunya mata pencarian, gagal dalam perhubungan atau apa jua peristiwa yang mengubah hidup seseorang.

Fasa-fasa grieving sangat unik dan berbeza antara setiap orang dengan yang lain. Walaupun mereka berada dalam keadaan yang sama. Sebuah keluarga yang kehilangan seorang anggotanya, tindak balas dan perasaan masing-masing tidak dialami secara serentak dan sekata. Proses ini sangat peribadi, sepertimana setiap kita berbeza satu sama lain.

Jadi, pertamanya perlu kita fahami tahap grieving ini tidak berlaku secara berturutan.

Kemudian, seseorang kemungkinan melalui satu tahap berulang kali. Kemungkinan juga mereka akan melangkaui satu tahap grieving. Atau mereka mengalami tahap yang tidak disenaraikan di sini. Betapa uniknya jiwa dan emosi manusia.

Advertisement

Fasa pertama, denial and isolation

Kejutan kehilangan insan tersayang membawa kesakitan kepada jiwa kita. Bagi melindungi diri dari kesakitan tersebut, minda kita cuba menafikan peristiwa yang telah berlaku.

“Tak mungkin ini terjadi”
“Macam tak percaya dia dah tak ada”

Bagi menyerap kejutan dan menerima perubahan tersebut, denial and isolation adalah normal pada peringkat awal kehilangan, bagi menyediakan diri kita berdepan realiti. Bahawa peluang kedua kini sudah tiada lagi.

Fasa kedua, anger

Apabila masking effect fasa penafian berlalu, kita mula menerima kenyataan. Akan tetapi, masa tidak boleh diundur.  Kita tidak mampu menghidupkan si mati, hanya kerana kita tidak bersedia dengan pemergiannya. Disebabkan realiti tersebut, kita tidak tahu lagi bagaimana untuk meluahkan emosi. Ketika ini, kemarahan dihalakan pada yang tidak sepatutnya. Adakalah staf hospital menjadi mangsa,

“Doktor, kenapa tak selamatkan adik saya?”

Adakala kita sedar kita tidak boleh menyalahkan doktor, tetapi kita marah pula dengan diri sendiri.

“Kenapalah aku tak bawa ke hospital awal-awal?”

Atau sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kemarahan ketika itu. Ahli keluarga, kawan, mana-mana orang tidak dikenali, bahkan objek tidak bernyawa juga tidak terlepas dari luahan geram kita. Sebenarnya kita hanya mahu melepaskan ketegangan emosi diri ketika berdepan kehilangan.

Fasa ketiga, bargaining

Tawar-menawar. Pelbagai perkara terlintas di fikiran. Kenapa bukan aku yang mati? Kalaulah dulu aku tak buat salah. Kalaulah aku boleh ganti, baik aku yang mati bukan dia. Ini merupakan contoh perasaan yang muncul pada satu fasa. Reaksi normal ketika ditimpa sesuatu kemalangan, biasanya akan diucapkan “kalaulah…”.

“Kalaulah aku tahu awal.”
“Kalaulah kita pergi pada doktor terbaik.”
“Kalaulah kita tanya pandangan kedua doktor lain.”

Ayat-ayat sebegini dituturkan lantaran rasa bersalah yang lahir dari dalam diri. Sebagai tanda kesal, kita cenderung untuk berusaha menebus apa yang kita anggap sebagai kesilapan kita tersebut.

Fasa keempat, depression

Depresi boleh muncul dalam banyak bentuk. Kesedihan akibat kehilangan itu sendiri sudah cukup menyakitkan jiwa, ditambah pula dengan pelbagai kerisauan baru. Risau perbelanjaan setelah kematian, risau ahli keluarga lain dinafikan hak berkongsi beban kerana kita larut dalam kesedihan, dan pelbagai kerunsingan yang menambah bebanan jiwa seseorang. Ketika ini, emosi sangat mudah bertukar menjadi kacau bilau. Kesedihan berubah menjadi kerisauan. Stres, kemudian membawa pada kemarahan. Lalu asyik menyalahkan diri sendiri. Pada masa yang sama kita masih bersedih dengan kehilangan yang dihadapi. Ada ketika kita terfikir, bolehkah kita berhenti bersedih? Bolehkah kita hidup seperti biasa semula?

Namun dari sisi positif, fasa ini juga berkemungkinan tinggi menunjukkan dalam diam kita telah menerima pemergian insan tersayang. Kita tahu dia tidak akan kembali lagi. Kita tahu sekuat manapun usaha kita, ada ajal dan takdir mendahului. Kesedihan yang dirasai, datang bersama-sama realiti sebuah perubahan hidup. Sekarang dia telah tiada.

Fasa kelima, acceptance

Fasa ini adakala tidak mudah dicapai seseorang. Apatah lagi jika pemergian tersebut kita percaya berlaku akibat kecuaian sesetengah pihak atau berlaku secara sangat tiba-tiba. Kita masih belum bersedia menghadapinya.

Kadangkala pula, ada orang seawal menerima berita kematian telah menyatakan hatinya redha dan sabar. Namun tidak lama selepas itu dia marah, macam tak percaya, cuba bargaining atau depressed.

Kerana itu perlu kita fahami, fasa-fasa ini tidak dilalui secara berturutan atau tenang.

Dalam proses bermacam ragam ini, tolak ansur dan saling memahami sesama ahli keluarga serta orang terdekat amat penting. Saling memaafkan dan memberi kekuatan.

Hingga kita benar-benar menerima kenyataan. Bahawa perubahan dalam hidup kita telah berlaku. Takdir yang mesti ditempuh. Fasa acceptance dikaitkan juga dengan kestabilan emosi dan ketenangan. Ia tidak sekali-kali bermakna kita telah move on seperti sedia kala. Ia juga tidak dimaksudkan dengan gelak tawa kita. Keadaan tidak akan pernah sama. Dan memahami hakikat itu, kita melihat perjalanan hidup kita seterusnya dengan perspektif baharu. Kita menerima pemergian, kehilangan dan kematian. Kita memahami makna dan pengertian di sebalik hakikat tersebut.

Keperitan yang ditanggung akibat kehilangan bukan main-main. Oleh itu, Islam menggariskan pelbagai hukum dan etika berdepan kematian.

Keluarga si mati tidak seharusnya terbeban menjamu hadirin. Setelah selesai urusan pengebumian jenazah, para tetamu berpada-padalah dalam berziarah. Kunjungi waris dengan tujuan menyenangkan hati dan memberi sokongan emosi.
Kerabat si mati harus mengambil tahu tanggungjawab yang dipangku setelah pemergian saudaranya. Bukan menunjukkan muka untuk berebut harta.

Begitu juga sebahagian ulamak memakruhkan ucapan takziah setelah melebihi tiga hari pemergian.

Hikmahnya supaya tidak membangkitkan emosi sedih waris yang mungkin sudah mula pulih, tidak melemahkan semangat yang susah payah dikutip oleh ahli keluarga.

Biasanya kita tidak berniat menyakiti waris. Justeru kerana ia mudah berlaku secara tidak sengaja, Islam menganjurkan saranan dan tegahan agar setidak-tidaknya kita dilihat memahami perasaan waris. Walaupun mungkin sebenarnya kita ini clueless atau kurang akal budi.

Semoga dengan menghayati saranan Islam perihal adab takziah dan memahami proses grieving ini, kita dapat saling meringankan beban sesama masyarakat Muslim.

Tanggungjawab kita umat Islam tidak sekadar menguburkan jenazah saudara kita yang telah pergi, bahkan menghormati mereka yang masih hidup.

SOFIA ALWANI ALI
15 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 15/1/2020