Allah tutup aib kita


SEORANG manusia dilihat hebat bukan kerana dirinya semata tetapi kerana Allah telah menutup aib mereka. Bayangkan sekiranya segala dosa yang dilakukan secara tersembunyi dipamerkan, segala umpatan, kata nista kita terhadap kawan kita didedahkan, bahkan segala kejahatan yang kita lakukan dipertontonkan, pasti seseorang itu tidak sanggup untuk berjalan di atas muka bumi ini.

Dengan sebab itu al-Imam Ibn al-Jauzi menyatakan:

Advertisement



اعلم أن الناس إذا أعجبوا بك فإنما يعجبون بستر الله عليك

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya manusia itu berasa kagum dengan engkau (bukan kerana dirimu), tetapi mereka kagum kerana Allah telah menutup aibmu.”



Ia adalah salah nikmat yang wajib disyukuri oleh setiap insan. Seorang lelaki bertanya kepada seorang Abu Tamimah: Bagaimana keadaan kamu pada pagi ini? Jawab Abu Tamimah:



“أصبحت بين نعمتين, لا أدري أيَّتهُمَا أفضل: ذنوبٌ سترها الله -عز وجل-, فلا يستطيع أن يعيرني بها أحدٌ؛ ومودةٌ قذفها الله -عز وجل- في قلب العباد, لم يبلغها عملي”.

“Aku berpagi dalam dua nikmat yang tidak aku ketahui manakah yang lebih baik iaitu: Nikmat Allah menyembunyikan dosaku sehingga tiada seorang pun yang boleh mengaibkan diriku atau nikmat rasa kasih yang Allah campakkan ke dalam hati manusia, sesuatu yang aku tidak mampu perolehinya melalui amalanku.”



Dengan sebab itu Allah menyukai hamba-Nya yang menyembunyi keaiban dosa orang lain. Sabda Rasulullah:



مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

“Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslim yang lain, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

(HR Ibn Majah)



Bahkan Allah membenci mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah telah menutup aib mereka. Sabda Rasulullah:



كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

“Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan ‘mujaharah’ itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam sedangkan di waktu pagi Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan namun dia bangun pada waktu pagi lalu mendedahkan sendiri apa yang Allah telah sembunyikan aibnya.”



Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 16/1/2020