Idealogi Komunis dihidupkan semula era PH

LARUT: Idealogi sesat termasuk fahaman Komunis mesti segera dibenteras dari meresapi pemikiran rakyat Malaysia kerana ia secara tidak langsung menentang segala bentuk jati diri Melayu dan Islam serta semangat cintakan tanah air.

Advertisement

Bahkan ianya cuba meletakkan semua itu diganti dengan hak sama rata terhadap semua kaum dan agama, demikian menurut Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Penegasan tersebut disuarakannya pada ceramah Usaha Singkir Idealogi Komunis (USIK) anjuran Muafakat Nasional DUN Kubu Gajah di Sungai Limau, di sini baru-baru ini.

Beliau dalam pidatonya mengimbas secara kronologi penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pemasangan bendera terbalik, desakan ratifikasi ICERD dan terbaharu penolakan tulisan Jawi.

Bekas Pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) ini menyifatkan semua tindakan tersebut adalah bukti fahaman ekstrem Komunis sentiasa membawa penolakan jati diri bangsa, agama dan negara ini.

Manakala Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Ustaz Zainal Abidin Saad pula mengingatkan bahawa idealogi Komunis tidak mati walaupun telah diadakan Perjanjian Hatyai yang ditandatangani pada tahun 1989.

“Perjanjian damai tersebut menyebabkan Komunis menyerahkan senjata dan berdamai. Namun, idealogi mereka tidak terus terpadam kerana wujudnya individu dan kumpulan tertentu yang secara berterusan menyuburkan fahamannya terutama pasca 9 Mei 2018,” ujarnya.

Terdahulu nada sama diperingatkan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Larut, Abu Husin Mohamad yang menyeru masyarakat untuk bersama bekas tentera bagi bergandingan dengan PAS untuk menyingkirkan idealogi Komunis kerana cuba dihidupkan semula.

Turut berceramah ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Larut, Dato’ Dr Amin Zakaria dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud pada himpunan Muafakat Nasional tersebut.

Sebelum majlis itu, Sekretariat DUN Kubu Gajah telah mengadakan ziarah kebajikan dan menyerahkan kerusi roda kepada Hasnah Umar yang telah menjalani rawatan kencing manisnya dan terpaksa dipotong kaki.

Sementara itu ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya memaklumkan pihaknya sentiasa komited membantu penduduk dan para dermawan yang prihatin boleh menyumbang ke akaun Maybank 1580 5191 1775 atas nama Dana Prihatin Kubu Gajah. – HARAKAHDAILY 16/1/2020