Muslimat ziarah Pak Subky yang keuzuran

KUALA LUMPUR: Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan Ziarah Kasih kepada Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Subky Latif di kediamannya di Padang Balang, di sini kelmarin.

Advertisement

Kunjungan tersebut bagi melihat sendiri tokoh veteran PAS itu yang baharu sahaja keluar dari wad hospital selepas mendapat rawatan berikutan tahap kesihatan beliau agak lemah mutakhir ini.

Rombongan dipimpin sendiri Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Zurina Din.

Turut serta adalah Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Noraisyah Abd Rahman dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Batu, Suhailah Ishak.

Pada kesempatan ziarah ini, pihak Muslimat telah menghulurkan sumbangan kepada Subky sebagai tanda keprihatinan kepada beliau yang ketika itu tidak berhenti menyuarakan hasratnya membangunkan As-Sabiqun.

Malah beliau juga mengutarakan ideanya untuk membuka akaun khas As-Sabiqun bagi tujuan perolehan dana dalam merancakkan gerak kerja sayap baharu PAS itu.

Paling mengagumkan, disebalik keuzurannya, beliau yang mesra dipanggil Pak Subky tetap melangkah ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. – HARAKAHDAILY 16/1/2020