PAS S’wak yakin dapat kerusi atas kelebihan MN

PAS Sarawak sudah melakukan persiapan dengan strategi yang kukuh untuk menawan Dun Sulong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang. Hari ini PAS Sarawak bersama PAS Batang Lupar telah berjaya menghantar kumpulan pertama petugas pilihan raya untuk menghadiri kursus khas pilihan raya serta pemantapan organisasi di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman dekat Terengganu selama seminggu dan lawatan kerja serta kemahiran di Kelantan.

PAS telah menyertai 5 siri pilihan raya di Dun Beting Maro dan Batang lupar dengan peningkatan undi yang sangat positif seiring dengan peningkatan pengundi sehingga tidak pernah hilang wang deposit pilihan raya. Sokongan padu pengundi di Beting Maro khususnya jauh berbeza dari sebelumnya. Mereka telah melihat PAS  sahaja yang boleh membantu mereka yang tertindas dengan penafian hak pembangunan. PRN lepas menyaksikan PAS kalah hanya lebih seribu undi berbanding calon PBB.

Kehadiran PAS kali ini sudah pasti lebih diyakini pengundi termasuk pengundi Barisan Nasional (BN) dahulu yang bakal memberi undi tambahan untuk memenangkan PAS. PAS mempunyai kelebihan apabila kita bersama di dalam Muafakat Nasional (MN) yang mana lambang BN lebih dikenali di kawasan luar bandar Sarawak.

Sepertimana Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS Sarawak juga melihat tiada kepentingan kerjasama antara GPS dan PAS di negeri Sarawak setakat ini kerana mereka juga seteru utama PAS terutama di kerusi Beting Maro. Bagi PAS, di Beting Maro Pakatan Harapan (PH) pula tiada nyawa apabila pilihan raya lepas undi mereka hanya sebanyak 103 berbanding undi rosak 104 iaitu beza di bawah 1 undi. Melihat kepada prestasi yang meningkat ini, PAS kini bertumpu sepenuhnya di beberapa kerusi yang bakal menjadi kerusi kemenangan sulung PAS bersama Muafakat Nasional kelak.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 16/1/2020

Advertisement