PSR canggah prinsip keadilan alam sekitar dan HAM

KEADILAN alam sekitar adalah selaras dengan pengagihan beban dan manfaat alam sekitar yang ‘adil’, sekali gus memastikan komuniti yang rentan dan berpendapatan rendah tidak menanggung padah pencemaran, degradasi alam sekitar dan gawat iklim.

Penang Tolak Tambak adalah gandingan Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Penang Forum yang terbentuk pada pertengahan 2019, bertujuan menghentikan projek penambakan pesisir berskala besar yang merosakkan ekologi Pulau Pinang, khususnya Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Fokus memorandum ini ialah PSR, iaitu projek Kerajaan Pulau Pinang untuk menambak 3 buah pulau berukuran 4,500 ekar, yang nantinya mendatangkan impak negatif pada keadilan alam sekitar dan hak asasi manusia. Penambakan 3 buah pulau buatan, yang kononnya ‘pintar dan hijau’ itu, menyasarkan golongan pembeli dan pelabur, akan dilaksanakan dengan meminggirkan golongan rentan dan generasi mendatang.

Memorandum ini mengutarakan 5 isu Keadilan Alam Sekitar, yang memberi dampak kepada masyarakat nelayan tradisional atau pantai dan komuniti nelayan, yang seharusnya menarik perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pelaksana dan penganjur projek PSR.

Projek PSR akan mengakibatkan ‘kemusnahan kekal’ kepada ekosistem pesisir dan kawasan perikanan terkaya Pulau Pinang, dan akan menjejaskan 4,909 orang nelayan dan 511 penternak ikan air payau. Sedangkan perlombongan pasir untuk PSR akan memberi impak negatif kepada 6,000 orang nelayan dan penternak ikan air payau di Utara Perak.

Adakah Kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar gagal mematuhi ‘prinsip kehati-hatian’ (precautionary principle) dalam mitigasi iklim dan perlindungan alam sekitar?

Adakah pihak berkuasa negeri mengabaikan, mengesampingkan dan menidakkan hak guna pakai dan akses nelayan tradisional kepada kawasan perikanan sama guna, dengan sebuah projek yang akan memusnahkan dan mencemarkan ekosistem marin?

Adakah pihak berkuasa negeri melanggar prinsip Keizinan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (Free Prior and Informed Consent) dengan membuat keputusan untuk meneruskan juga projek itu meskipun terang-terangan mendapat bantahan daripada komuniti nelayan tempatan?

Adakah pihak berkuasa cuba menghalang protes dan penyerahan memorandum nelayan pada Hari Solidariti Nelayan, 4 November 2019, dengan menyekat penggunaan ruang awam, mengenakan syarat-syarat yang menghambat, mendirikan barikade polis walaupun kebenaran bertulis telah diberikan dalam surat polis, diadang memasuki Dewan Undangan Negeri?

Memorandum

Trend terkini dalam merealisasikan projek penambakan sebagai strategi pembangunan di Malaysia memangsakan ribuan anggota komuniti pesisir berpendapatan rendah, sebagai ‘mangsa pembangunan’. PSR adalah satu kes rintis yang penting dalam mempertahankan hak asasi manusia nelayan tradisional, daripada ‘rampasan laut’ kawasan perikanan sama guna yang didalangi oleh kepentingan bisnes dan negeri. Pelanggaran hak para nelayan Pulau Pinang dan Malaysia yang disengajakan, serta implikasi terhadap keselamatan makanan negara dan kos sara hidup, merupakan ancaman langsung dan monumental terhadap kesejahteraan penduduk B40 negara kita.

Dua petisyen untuk menghentikan PSR telah ditandatangani oleh lebih daripada 250,000 penyokong (change.org, rainforest rescue). Jumlah ini jelas menunjukkan sokongan merata masyarakat tempatan, nasional dan antarabangsa buat para nelayan dan perlindungan ekosistem marin. 

Kami telah merayu kepada Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya memakai ‘prinsip kehati-hatian’ untuk perlindungan alam sekitar dan seterusnya menghentikan atau membatalkan cadangan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang.

Kami menyeru SUHAKAM untuk memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pemaju,  pegawai kerajaan, dan pihak berkuasa perikanan supaya menghormati hak komuniti perikanan untuk Keizinan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (Free, Prior and Informed Consent), dan untuk mengendalikan apa-apa perundingan secara adil dan telus dengan merangkumi semua wakil sah, dan menghormati proses yang disepakati bersama. Sebarang percubaan oleh mana-mana pihak untuk menidakkan pendirian kolektif Persatuan Nelayan Pulau Pinang melalui, contohnya, rundingan satu-sama-satu dan menawarkan insentif, atau mengenakan tekanan yang tidak sewajarnya melalui tindakan malafide seperti intimidasi, paksaan, atau penyalahgunaan kuasa dalam penyingkiran subsidi atau hak kepenggunaan yang biasa, menghalang akses kepada perikanan, tindakan sewenang-wenang untuk menurunkan pangkat atau melucutkan keahlian atau kelayakan mana-mana nelayan, menyangkal hak kebebasan untuk berpersatuan, atau menyekat kebersuaraan persatuan nelayan dengan apa-apa cara sekali, hendaklah diberi amaran dan disiasat.

Kami merayu SUHAKAM untuk memastikan bahawa masyarakat nelayan tempatan tidak dinafikan hak-hak mereka kepada kawasan sumber perikanan yang telah menjadi sumber mata pencarian mereka selama turun-temurun. Untuk melindungi hak asasi komuniti nelayan, kami menyeru SUHAKAM untuk menjalankan penyiasatan penuh atas masalah nelayan Pulau Pinang dan Perak yang terancam oleh cadangan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang.

Kami juga menyeru wakil-wakil politik, pihak kerajaan, masyarakat madani dan masyarakat umum untuk sedar atau iktiraf bahawa penambakan pesisir adalah isu keadilan alam sekitar yang membabitkan puluhan ribu nelayan dan komuniti nelayan, dan untuk menyokong hak-hak nelayan dengan menuntut supaya penambakan pesisir bagi pembangunan bandar tetap dilarang, seperti yang tertera dalam Rancangan Fizikal Negara 2020.

CSOs endorsement for Penang Tolak Tambak memorandum to SUHAKAM

1.     Suaram
2.     Greenpeace Malaysia
3.     Klima Action Malaysia (KAMY)
4.     Klimate Action Utara Malaysia
5.     Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia)
6.     Artivist Network
7.     Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
8.     MADPET(Malaysians Against Death Penalty and Torture) endorses.
9.     WH4C(Workers Hub For Change)
10.     Gerakan Pembebasan Akademik (GPA)
11.     Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
12.     Agora Society
13.     Beyond Borders Malaysia
14.     Sahabat Alam Malaysia
15.     Tanjung Bungah Residents Association
16.     Persatuan Penduduk Petaling Jaya
17.     Aliran
18.     University of Malaya Association New Youth (UMANY)
19.     PEKA Malaysia
20.     Malaysia Muda
21.     Center to Combat Corruption & Cronyism (C4)
22.     Consumers Association of Penang (CAP)
23.     Pertubuhan Solidariti Hijau Kuantan (PSHK)
24.     Save Malaysia atau Stop Lynas (SMSL)
25.     Greensmiths
26.     Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM)
27.     Persatuan Sahabat Wanita Selangor
28.     Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
29.     Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
30.     Pertubuhan Warisan Tanah & Teroka Bandar Pulau Pinang (NGO Teroka) – HARAKAHDAILY 16/1/2020

Advertisement