PAS Perak giat gerak kerja ‘kerajaan menunggu’

PADANG RENGAS: PAS Negeri Perak mengarahkan seluruh Kawasan dan Cawangan di bawahnya untuk mula bekerja secara berfokus ke arah PRU15, demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Perak, Dato’ Drs Khalil Idham Lim.

Advertisement

“Kita telah mengambil kesepakatan di peringkat Negeri untuk mengarahkan PAS Kawasan dan Cawangan-cawangan untuk mula bekerja secara berfokus. Maknanya sekarang tidak ada gelecek lagi bola. Terus tendang masuk gol,” ujar beliau.

Khalil berkata demikian di Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Dewan dan Cawangan PAS Kawasan Padang Rengas bagi tahun 2020 di Markaz PAS Kawasan, Kampung Berala, di sini baru-baru ini.

Setiap Kawasan serunya, perlu memaksimumkan segala keupayaan antaranya dengan menubuhkan Pusat Aduan Rakyat dan membariskan pemimpin pelapis peringkat kampung sebagai komitmen kerajaan menunggu.

“Kita kena ingat, dalam Kawasan kita bukan sahaja orang Islam orang Melayu yang ada masalah yang perlu dibantu. Kita kena balik Islam for All, PAS for All. PAS kena dimiliki oleh semua bangsa di Malaysia. Orang Cina, orang India, orang apa pun kita bantu mereka.

“Sebab kita kena ingat, bangsa Cina bukan jahat bukan khianat kepada negara ni. Yang khianat kepada negara (dan) yang mengapi-apikan perkauman (ialah) bangsa DAP. Kalau tuan-tuan marah kat Cina, saya tak boleh (datang) rasmi (majlis) malam ni. Balik terus la. Saya ni Cina,” jelas beliau yang berasal dari Kelantan.

Beliau turut menekankan peri penting gerak kerja berfokus bermula di peringkat Cawangan kerana Cawangan adalah tunjang kekuatan parti.

“Ramai lagi yang tidak jadi pemilih. Sebab itu kekuatan sebagai sebuah gerakan Islam dia kena cari ahli. Sebab bila pilihan raya memerlukan orang pergi mengundi, kena daftar pemilih.

“Kerja-kerja ini tidak lain berhasil adalah akibat daripada kerja bersungguh-sungguh cawangan,” tegas beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kangsar.

Melalui gerak kerja berfokus itu beliau berharap segala kekurangan dari sudut pentadbiran yang berlaku ketika PAS memerintah pada tahun 2008 tidak berulang. – HARAKAHDAILY 17/1/2020