Peristiwa Jeram Ampai 1894: Kebangkitan jihad

PERJUANGAN umat Islam untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah telah melahirkan pahlawan-pahlawan yang bergerak atas nama agama. Di Tanah Melayu sendiri, kebangkitan ini telah melonjakkan nama-nama pahlawan bangsa seperti Tok Sagor di Perak, Dato’ Dol Said di Melaka, Dato’ Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Tok Limbong di Terengganu. Salah satu peristiwa kebangkitan jihad politik Islam yang terpenting ialah Peristiwa Jeram Ampai yang berlaku di Pahang pada 14 Jun 1894 kerana ia melibatkan gandingan pejuang, ulamak, sultan dan umat di tiga negeri – Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pahang mempunyai sejarah tersendiri dalam hubungannya dengan British. Sejak pembunuhan seorang Cina rakyat British di kawasan Istana Pahang, telah memaksa Sultan Ahmad menandatangani pelantikan Residen British di Pahang pada 24 Ogos 1888. John Pickersgill Rodger telah dilantik sebagai Residen British pertama di Pahang. Ia bertolak dari kegagalan British untuk menguasai kekayaan Pahang sehingga Frank Swettenham yang dihantar pada 1885 dan Hugh Clifford yang dihantar pada 1887 untuk mengadakan perjanjian perdagangan dan pertahanan ditolak oleh Sultan Ahmad. Kerana itulah konspirasi diatur dengan pembunuhan Cina tersebut untuk membolehkan British menguasai Pahang.

Setelah Pahang menerima Residen British pada 1888, Pahang diserap masuk ke dalam Persekutuan Negeri-negeri Bersekutu yang ditadbir oleh British dari Kuala Lumpur pada 1895 dengan Frank Swettenham sebagai Residen Jeneral yang pertama. Perubahan politik ini telah memberi kesan besar kepada kemerdekaan Pahang, dan mendorong umat Islam bangkit menentang perluasan pengaruh Inggeris ini sehingga berlakunya kebangkitan yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Imam Rasu dan Mat Kilau, bermula dengan serangan di Lubuk Trua pada 21 Disember 1891, kemudian diikuti oleh gerakan serentak pada 5 April 1892, tetapi serangan balas British selama beberapa bulan berhasil mengusir mereka ke sempadan Kelantan dalam bulan September 1892.

Pemberontakan ini timbul kerana Sultan Ahmad dan pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor dan Imam Perang Indera Gajah (Tok Gajah) sebenarnya tidak mahu menerima Residen British. Ketika beberapa pemimpin Melayu menasihati Sultan Ahmad untuk menerima tawaran British, para pembesar ini telah meminta Sultan menolak permintaan British dan mereka bersedia berperang dengan British. Kerana tidak berpuas hati itu, selepas kedatangan JP Rodger ke Pahang, mereka telah bertindak ke atas kepentingan British, iaitu sebagai reaksi terhadap sikap tidak adil British dalam membuat perubahan pentadbiran di Pahang.

Dari latar belakang ini, pahlawan-pahlawan Pahang yang berundur ke Kelantan telah mendapat pertolongan daripada Sultan Kelantan, sebelum mereka bergerak ke Terengganu dan mendapat perlindungan daripada Tokku Paloh, ulamak besar Terengganu yang sangat berpengaruh di Istana Terengganu ketika itu. Di Paloh, Terengganu, para pahlawan ini telah menerima suntikan semangat jihad dari Tokku Paloh (m. 1917) untuk membebaskan semula Pahang. Satu rancangan besar telah disusun dalam bulan Mei 1894 untuk menyerang kubu British di Jeram Ampai, Jerantut dengan bantuan orang Terengganu dan Kelantan.

Para pahlawan Pahang terdiri dari Tok Gajah, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela telah berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai, dengan bantuan orang Besut dari Terengganu dan orang Lebir dari Kelantan. Dengan suntikan jihad fisabilillah oleh Tokku Paloh, Perang Sabil ke atas orang kafir disusun dengan begitu teratur sehingga tidak dapat dikesan oleh perisik British. Mereka berjaya menyeludup senjata api dari Singapura dan pusat gerakan mereka terletak di Paloh dengan disokong oleh Sultan dan pembesar Kelantan dan Terengganu. Di pihak British mereka terus berusaha memujuk Dato’ Bahaman dan Tok Gajah supaya menyerah diri.

Pada 14 Jun 1894, pasukan pejuang Pahang dengan dibantu oleh orang Kelantan dan Terengganu telah menyerang kubu British iaitu balai polis Jeram Ampai dan berjaya membunuh dan menawan sebahagian daripada 11 orang polis British berbangsa Sikh. Walau bagaimanapun, seorang polis Sikh yang tercedera terlepas dan dapat menghubungi Panglima Garang Yusof sehingga berita penawanan ini sampai ke Pekan. Dato’ Bahaman, Imam Rasu dan Mat Kilau bergerak ke Pulau Tawar untuk mengajak Panglima Garang Yusof dan Tok Raja menyokong mereka, tetapi mereka lebih suka menjadi tali barut British. Tok Raja dan Panglima Garang Yusof kemudiannya telah menyerang pasukan Mat Kelubi di Lipis pada 17 Jun 1894.

Pada 18 Jun 1894, Pemangku Residen British, Walter Egerton telah membawa polis dan askar Sikh dari Selangor dan Perak untuk bergabung dengan pasukan Panglima Garang Yusof di Kuala Tembeling. Mereka bergerak untuk menawan semula Jeram Ampai yang dikuasai oleh Dato’ Bahaman dan Tok Gajah Imam Rasu. Pada 29 Jun 1894, British dapat menguasai semula Jeram Ampai, tetapi mereka tidak dapat menangkap pemimpin-pemimpin Melayu itu. Setelah itu, British meminta bantuan Siam untuk menahan mereka, yang menyebabkan mereka semua bersembunyi dan membuat helah bahawa mereka telah terbunuh. Setelah merdeka, sebahagian dari mereka termasuk Mat Kilau telah keluar dari persembunyian itu pada 1969.

Peristiwa Jeram Ampai ini walaupun tidak berhasil memerdekakan Pahang, tetapi adalah salah satu daripada kebangkitan jihad fisabilillah orang Melayu ke atas bangsa kafir yang menjajah mereka. Faktor agama sangat memainkan peranan besar dalam kebangkitan ini terutama peranan Tokku Paloh selaku Sheikhul Islam Terengganu dan Tok Montok (m. 1918), Mufti Pahang yang kemudiannya dapat menarik sokongan tokoh-tokoh agama tempatan seperti imam, khatib, bilal, guru agama dan lebai dalam perjuangan ini. Apa yang penting, kekalahan ini adalah berpunca dari pengkhianatan bangsa sendiri sejak dari perundingan untuk menerima Residen British sehinggalah kepada siri-siri kebangkitan yang berakhir di Jeram Ampai. Tidak dinafikan juga, faktor pergeseran di antara Sultan Ahmad dengan Dato’ Bahaman telah memecahkan perpaduan orang Melayu dan menjadi kekuatan kepada British.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/1/2020

Advertisement