Prinsip Hudaibiyah merupakan ruh Muafakat Nasional

TAMBUN: Pandangan yang mengatakan bawa dasar perjuangan PAS telah berubah adalah tidak matang dan tersasar sama sekali, malah ia turut disifatkan sebagai tohmahan yang salah.

Advertisement

Jelas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mukhyi dalam ucapannya menegaskan bahawa perjuangan PAS tetap sama walaupun melalui pelbagai era peredaran zaman.

“Perjuangan PAS sentiasa selari dengan peredaran zaman. Apabila kita masuk era baru, maka kita perlukan kaedah baru, tetapi dasarnya tidak pernah berubah. Perjuangan (PAS) ada prinsip, dan prinsip perjuangan PAS adalah prinsip perjuangan Rasulullah.

“PAS tidak pernah mengetepikan prinsip dakwah Rasulullah, malah Rasulullah juga menjalin hubungan dengan Musyrikin Makkah atas dasar tertentu dan prinsip tertentu, salah satunya ialah peristiwa Perjanjian Hudaibiyah,” jelas beliau.

Ustaz Sallehen Mukhyi turut menegaskan prinsip perjanjian Hudaibiyah ini merupakan ruh kepada Muafakat Nasional yang menjadi agenda dakwah Islam sekali gus membuktikan PAS bukan berjuang atas dasar politik sahaja. 

Tambahnya lagi di dalam Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan-Cawangan PAS Kawasan Tambun bertempat di Meru Point, Ipoh di sini baru-baru ini, Muafakat Nasional adalah bukti bahawa PAS tidak pernah memilih pihak dalam menjalankan agenda Islam.

“Kerana hubungan Muafakat Nasional ini, Umno bersedia mengubah dasar partinya dengan tindakan meletakkan Islam lebih kehadapan berbanding bangsa dan negara. Inilah janji Allah, ganjaran pahala kepada aktivis diatas kejayaan dakwah ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa setiap ahli PAS mesti yakin dan patuh pada keputusan yang kepimpinan telah putuskan kerana ia adalah bukti pengamalan konsep prinsip perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 17/1/2020