DHPP bukti PAS terbuka untuk semua kaum, agama

GELUGOR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) adalah bukti yang menunjukkan PAS boleh menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama tanpa ada diskriminasi, sekali gus melambangkan kekuatan sebenar Malaysia.

Advertisement

Malah, PAS juga membuktikan ia parti yang berusaha mengukuh kebersamaan dan keharmonian atas peranannya menerajui muafakat antara parti-parti politik daripada pelbagai latar belakang serta entiti.

Demikian kesungguhan PAS mewujudkan hubungan sesama masyarakat Malaysia yang berbilang kepelbagaian sebagaimana ditegaskan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Beliau berucap pada majlis pelancaran semula DHPP Pulau Pinang yang turut dihadiri Umno, MIC, PCM dan MU serta NGO-NGO dan aktivis rakyat di Restoran Makanan Laut D’Sampan, Batu Uban, di sini malam tadi.

Terang beliau, usaha giat dilaksanakan PAS ini tidak lain adalah demi untuk menyelamatkan rakyat khususnya di Pulau Pinang dan Malaysia amnya dari tindakan politik yang mendatangkan kemudaratan kaum.

Jelasnya, politik yang membangkitkan sentimen dan kebencian kaum mesti dihindari kerana soal kaum dan bangsa adalah ketentuan Allah S.W.T ke atas semua manusia serta ditempatkan di tanah masing-masing.

“Bukan saya pilih nak lahir sebagai Melayu. Tuan-puan juga bukan pilih nak lahir sebagai Cina atau India. Tuhan yang tetapan pilihan kita lahir sebagai Melayu atau Cina atau India atau lain-lain. Allah ajar kita, kepelbagaian kaum ini untuk kita saling mengenali, bukan perbezaan itu untuk kita bertelingkah.

“Setiap kaum juga Allah takdirkan ada tempat masing-masing. Orang Melayu ada tanahnya, orang Arab ada tanahnya, orang India dan Cina juga ada tanahnya. Tapi uniknya negara kita Malaysia, Allah takdirkan berhimpun semua bangsa.

“Di sinilah perlunya kita saling membantu, hidup bekerjasaa supaya dapat aman dan damai,” ujarnya pada majlis yang membangkitkan semangat untuk kesatuan lebih utuh dan kerjasama bagi memenangi PRU15 itu.

Terdahulu, Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K Jayaraman dalam ucapannya memperakui PAS bukan parti yang menegangkan unsur rasis perkauman seperti dituduh sesetengah pihak untuk memburukkannya.

Sebaliknya tegas beliau, PAS adalah wadah zahir untuk perjuangan keadilan Islam ke atas semua kaum, bangsa dan agama selaras cogan kata ‘PAS For All’ yang dibuktikan dari kebajikan PAS kepada semua rakyat. – HARAKAHDAILY 18/1/2020