DHPP gerak gelombang perubahan di Pulau Pinang

GELUGOR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) sedia menjadi penghubung kepada PAS dengan masyarakat bukan-Melayu Islam di negara ini dan sedia menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai contoh perkembangan akan dilaksanakan.

Advertisement

Pengerusi DHPP Pusat, N Balasubramaniam berkata, sejak sekian lama PAS sudahpun menunjukkan hakikat dan jaminan kebebasan agama ke atas kehidupan rakyat bukan-Melayu Islam sebagaimana pemerintahannya di Kelantan dan Terengganu.

Jelasnya, penduduk daripada kaum bukan-Melayu Islam bukan sahaja hidup aman damai tanpa diganggu, malah mereka dilibatkan dalam kemasyarakatan dan pentadbiran kerajaan menerusi pelbagai jawatan diwujudkan.

Beliau berucap pada majlis pelancaran semula DHPP Pulau Pinang yang turut dihadiri Umno, MIC, PCM dan MU serta NGO-NGO dan aktivis rakyat di Restoran Makanan Laut D’Sampan, Batu Uban, di sini malam tadi.

Menurutnya, DHPP yang sebelum ini ditubuhkan sebagai ‘penyokong’, kini sudah mempunyai lebih 52,000 ahli di seluruh negara dan bersedia menjadi antara ‘tulang belakang’ PAS, oleh itu ditukar kepada ‘pendukung’.

Bahkan maklumnya, PAS bersungguh-sungguh menjelaskan ahli DHPP dengan Islam, tanpa memaksa mereka menganut Islam menerusi kelas khas Sijil Asas Kefahaman Islam di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak.

“Selepas ini, kami akan belajar ke peringkat Diploma pula. Ini membolehkan kami faham Islam yang dibawa PAS. Paling penting, PAS tak ganggu agama (anutan) kami. Saya sudah 12 tahun dengan PAS, sekalipun tidak pernah ada yang paksa saya masuk Islam,” ujarnya.

Balasubramaniam turut optimis dengan perkembangan DHPP di Pulau Pinang yang terbaharu menyerahkan 290 borang keahlian dan kini diterajui secara padu oleh K Jayaraman dan Steven Koh selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DHPP Pulau Pinang.

Jelasnya, hal tersebut juga terbukti dengan gemblengan mereka yang dapat menyatukan dan bersama dengan parti-parti politik pelbagai kaum di negeri itu seperti Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Bersama Malaysia (MU), selain MIC.

Beliau yakin muafakat ditunjukkan itu mampu membawa suatu sinar baharu di Pulau Pinang khususnya termasuk dalam gerak kerja pilihan raya dan mengambil alih teraju pemerintahan daripada DAP-PH pada PRU15 nanti.

Beliau turut menyatakan kekagumannya kepada mantan Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas kesungguhan mereka mewujudkan sayap bukan-Islam.

Ceritanya, PAS adalah pemula melakukan sedemikian, bahkan hal tersebut telah menjadi contoh kepada gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia, sebagaimana juga diikuti semasa pemerintahan Almarhum Dr Mohamed Morsi di Mesir. – HARAKAHDAILY 18/1/2020