Ahli PAS ibarat pemanah di Bukit Uhud

TAMBUN: Tanggungjawab menjaga PAS Cawangan adalah ibarat menjaga kubu pertahanan di mana masing-masing mempunyai perananan tersendiri, demikian kata Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said.

Advertisement

“Anggaplah, Cawangan-cawangan yang sedia ada ini sebagai kubu kita. Menyingkap zaman perjuangan Rasulullah, kita ini ibarat pasukan pemanah di Bukit Uhud. Jangan tinggalkan, jagalah sebaik mungkin,” pesan beliau.

Ustaz Salleh mengingatkan seluruh 300 perwakilan dari 36 PAS Cawangan ketika berucap dalam Perasmian Serentak Cawangan-Cawangan PAS Kawasan Tambun yang berlangsung di Dewan Ghazain, Meru Point, di sini baru-baru ini.

Beliau dalam ucapannya juga menyebut bahawa Mesyuarat Agung yang diadakan saban tahun adalah medan muhasabah terbaik buat ahli PAS untuk memastikan peningkatan dalam gerak kerja PAS.

Sambungnya lagi, PAS Tambun komited menubuhkan Cawangan baru dari semasa ke semasa berikutan jumlah peningkatan penambahan ahli dan ia bukti Tambun begitu positif untuk mencapai kemenangan di dalam PRU.

“Di peringkat negeri Perak, kawasan kita (Tambun) ini antara kawasan yang mempunyai penambah keahlian bulanan tertinggi. Tahun lepas, Tambun berjaya memperoleh kawasan yang paling banyak tambah ahli baru,” terang Ustaz Salleh.

Selain itu jelasnya bagi memantapkan pemahaman ahli, PAS Tambun juga mempunyai program tafaqquh yang dilaksanakan mengikut zon pada setiap bulan bagi memastikan ahli-ahli PAS bijak dalam ilmu agama.

Seluruh perwakilan cawangan yang hadir disarankan supaya menyediakan pelapis untuk kesinambungan perjuangan di masa akan datang dengan meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada generasi baru.

“Orang muda hebat dari segi teknonogi maklumat, tapi mungkin mereka (golongan muda) terlalu ‘hijau’, maka gabungan dengan pemimpin lama yang sudah matang dan ‘masak’ diperlukan. Inilah yang kita harapkan.

“Kita pun dah bersedia tuan puan. Sampai masa nanti kita akan berundur dan kita akan berikan laluan kepada senjata-senjata baru, peluru-peluru baru untuk terus menerjah badai perjuangan,” ujarnya mengakhiri ucapan pada program itu.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mukhyi, dan turut hadir Penolong Setiausaha PAS Perak, Ismat Shahril Che Mat. – HARAKAHDAILY 19/1/2020