Fasa baru pertembungan Iran-US (Bah. 2)

PADA bahagian pertama yang lalu, saya mengulas mengenai beberapa sebab utama Donald Trump dan Amerika Syarikat menyerang serta membunuh Qasim Soleimani di Iraq. Pada bahagian dua kali ini, saya cuba untuk mendedahkan siapakah dalang sebenar yang bertanggungjawab dalam perancangan untuk membunuh Qasim Soleimani dan memberikan beberapa senario yang mungkin berlaku berdasarkan pengamatan saya kepada situasi yang sedang berlaku sekarang ini di Timur Tengah.

Siapakah yang bertanggungjawab merancang pembunuhan Qasim Soleimani? Bagi menjawab soalan pertama, perlu ditimbulkan persoalan siapakah yang paling beruntung dengan ketiadaan Qasim Soleimani ? Sudah tentulah Israel kerana Israel sudah lama melakukan perancangan untuk membunuh beliau berikutan peranannya yang sangat besar dalam mengancam keselamatan Israel dan tenteranya sama ada di Syria, Lubnan dan Gaza, Palestin.

Perancangan tersebut didedahkan secara terbuka selepas serangan yang membunuh Qasim Soleimani oleh Times Of Israel pada 12 Januari lalu yang memperincikan bagaimana perisikan Israel mengekori pergerakan Qasim Soleimani secara terperinci selama beberapa hari sehingga tiba hari serangan terbabit. Perisikan Israel memberikan maklumat pergerakan tersebut kepada tentera Amerika Syarikat sehingga dilakukan serangan terbabit.

Malah Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo telah memberikan taklimat khusus kepada Benjamin Netanyahu tentang perancangan serangan terhadap Qasim Soleimani berdasarkan maklumat perisikan Israel beberapa hari sebelum serangan dilakukan. Dalam satu temuramah dengan media Israel beberapa hari sebelum serangan tersebut, Benjamin Netanyahu menyebut bahawa akan terdapat perkembangan menarik di Asia Barat tidak lama lagi.

Persoalannya mengapa Qasim Soleimani? Beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam menggagalkan perancangan Israel untuk menyekat bantuan Iran kepada Hizbullah dan Hamas melalui Syria. Qasem Suleimani juga adalah arkitek yang merancang dan terlibat di medan perang dalam menghalang pencerobohan tentera Israel terhadap Lubnan pada tahun 2003 sehingga Israel mengalami kekalahan yang teruk dengan pejuang-pejuang Hizbullah di Selatan Lubnan.

Qasim Soleimani juga adalah salah seorang arkitek yang membangunkan persenjataan roket Hamas dan Jihad Islami di Gaza sehingga menggerunkan Israel untuk menceroboh Gaza. Maka dengan ketiadaan Qasim Soleimani, akan mudahlah Israel mencapai matlamatnya  dan berita kematiannya disambut meriah di Israel. Ini dapat disaksikan apabila hanya Israel sahaja yang mengalu-alukan pembunuhan Qasim Soleimani melalui kenyataan oleh Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel sejurus selepas operasi pembunuhannya berlaku.

Amerika Syarikat hanyalah keldai tunggangan Israel bagi melaksanakan agendanya untuk menguasai seluruh Asia Barat. Tidak ada apa-apa faedah kepada Amerika Syarikat dengan membunuh Qasim Soleimani melainkan mengundang bahaya yang lebih besar kepada rakyat Amerika Syarikat itu sendiri dan kepentingan strategiknya di seluruh dunia. Ini dapat dilihat apabila majoriti rakyat Amerika Syarikat membantah tindakan membunuh Qasim Soleimani dengan alasan akan mengherat Amerika Syarikat ke kancah peperangan dan membahayakan rakyat serta kepentingannya di seluruh dunia.

Itulah peranan Zionis Yahudi sejak dahulu lagi, memperalatkan kuasa-kuasa besar untuk kepentingan mereka demi mencapai matlamat Israel Raya yang diimpikan oleh mereka kononnya bertujuan untuk mengembalikan Kerajaan Nabi Sulaiman A.S yang merentasi dari Sungai Furat di Iraq dan hingga ke Sungai Nil di Mesir. Kerajaan Agung Nabi Sulaiman A.S langsung tidak sama dengan apa yang diusahakan Zionist Yahudi sekarang ini malah mereka menggunakan impian tersebut untuk memperdaya dunia mengikuti kehendak mereka semata-mata.

Pada Perang Dunia Pertama dan Kedua, mereka memperalatkan imperialis Barat sehingga berjaya menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah di Turki dan kejayaan mereka menubuhkan negara Israel di atas bumi Palestin yang dirampas. Sekarang ini, Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump dikuasai sepenuhnya oleh Zionist Yahudi dan kuncu-kuncunya dari kalangan Zionis Kristian dan Evangalikan khususnya Mike Pompeo, Setiausaha Luar Amerika Syarikat yang memainkan peranan paling penting dalam operasi pembunuhan Qasim Sulaimani.

Pembunuhan Qasim Soleimani: Apa selepas ini?

Di sini disertakan sekurang-kurangnya dua senario fasa baru pertembungan antara Iran dan Amerika Syarikat selepas pembunuhan Jeneral Qasim Soleimani iaitu:

Pertama:     Pertembungan secara langsung antara Iran dan Amerika Syarikat.

Ini adalah senario paling buruk yang boleh berlaku kerana pertembungan secara langsung tersebut akan melarat hingga boleh mengakibatkan keseluruhan rantau Asia Barat menjadi medan perang. Apabila keadaan menjadi tidak terkawal, ia boleh mengakibatkan tercetusnya Perang Dunia Ketiga.

Pada awalnya, penganalisa-penganalisa politik dunia menjangkakan ianya bakal berlaku kerana impak pembunuhan Qasim Soleimani sangat besar memandangkan kedudukannya yang sangat penting kepada Iran sebagai ‘tangan’ Iran dalam mencatur peperangan dan kekuatan politik di luar sempadan Iran. Sudah tentu ketiadaan beliau memberikan kesan yang sangat besar kepada Iran.

Ini boleh disaksikan apabila jutaan rakyat Iran meratapi kematiannya pada hari pengkebumiannya dan laungan mereka untuk membalas dendam terhadap Amerika Syarikat. Malah pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenie menggelar Amerika Syarikat penjenayah dan akan membalas dendam terhadap kematian Qasim Soleimani.

Namun senario ini tidak akan berlaku tanpa penglibatan kuasa-kuasa besar yang berada di belakang Iran iaitu Rusia dan China. Melihat kepada keadaan semasa, ia menunjukkan bahawa Rusia dan China seolah-olah masih tidak bersedia untuk bertembung dengan Amerika Syarikat dan seperti berjaya memujuk Iran supaya membuat pertimbangan waras sebelum melancarkan serangan balas terhadap Amerika Syarikat mahupun Israel. Maka buat masa ini, senario tersebut dijangka tidak akan berlaku lagi.

Kedua:     Kelangsungan Perang Proksi.
Apabila Iran melancarkan serangan peluru balistik ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq, kemudian ianya disusuli dengan kenyataan-kenyataan daripada pimpinan Iran yang memberi bayangan tidak akan berlaku perang besar-besaran. Javed Zaref, Menteri Luar Iran menyebut bahawa Iran telah menunaikan kewajipan yang sepatutnya yakni membalas dendam ke atas pembunuhan Qasim Soleimani. Dalam masa yang sama, Donald Trump juga mengendurkan kenyataannya ke atas Iran dengan menyebut Amerika Syarikat tidak mahu berperang dengan Iran.

Langkah Iran yang berhati-hati ini menunjukkan kematangan politik pemimpin-pemimpinya untuk menolak mudharat yang lebih besar. Iran menyedari jika sekiranya berlaku perang besar-besaran, ia tidak akan mampu untuk menandingi kehebatan tentera Amerika Syarikat yang serba canggih dan terkini. Dalam masa yang sama Iran sendiri berdepan dengan masalah dalaman dari kalangan golongan pro Barat yang bertindak mengadakan demonstrasi mendesak pemerintah Iran supaya berundur kerana cengkaman ekonomi hasil daripada sekatan-sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Maka strategi terbaik kepada Iran adalah untuk meneruskan perang proksi melalui rangkaian-rangkaian proksinya yang ada di Timur Tengah khususnya Hizbullah di Lubnan, Al-Hasyd Al-Sya’bi di Iraq dan Ansarullah di Yaman. Ini dapat dilihat melalui kenyataan pemimpin kanan Iran yang senada dalam isu ini dengan menggariskan dua objektif. Pertama, menghalau tentera Amerika Syarikat dari Timur Tengah dan kedua menghancurkan Israel.

Ayatullah Ali Khamenei dalam responsnya selepas serangan balas ke atas pangkalan tentera Amerika Syaikat di Iraq menyebut bahawa serangan itu hanyalah ‘satu penampar’ dari Iran yang akan disusuli dengan tindakan-tindakan lain sehingga tentera Amerika Syarikat dikeluarkan dari Timur Tengah.

Strategi Iran dilihat tidak gopoh dan memakan jangka masa panjang bagi mencapai kedua-dua objektif tersebut. Justeru kita boleh menjangkakan ketegangan di Timur Tengah akan terus memuncak dalam beberapa bulan ini. Iran tidak akan berdiam diri dan akan berusaha untuk membalas dendam di atas kematian Qasim Soleimani. Program nuklear Iran akan diteruskan dan tidak mustahil Iran akan terus menekan Amerika Syarikat dengan bertindak mencipta bom nuklear.

Besar kemungkinan juga Iran akan melakukan provokasi dengan menyerang Israel dalam skala yang kecil seperti mengembalikan Bukit Golan kepada Syria. Tindakan ini sudah tentu akan menekan Israel dan merimaskan Amerika Syarikat untuk terus melindungi Israel yang merupakan anak emasnya.

Bagi pihak Amerika Syarikat pula sudah tentunya akan terus menekan Iran dari sudut politik dan sekatan ekonomi. Amerika Syarikat juga berhati-hati kerana sebarang perang yang bakal berlaku akan memberikan implikasi yang sangat besar dari sudut ekonominya yang semakin parah.

Apa sahaja senario yang bakal berlaku, pertembungan antara Amerika Syarikat dan Iran di Timur Tengah sedang melalui fasa baru yang sama-sama kita saksikan bagaimanakah kesudahannya nanti.

Semoga kemenangan berpihak kepada Islam Dan moga cahaya Ilahi bersinar kembali.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 19/1/2020

Advertisement