Isu Ponggal: Perlu hormati pegangan agama lain

IPOH: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS Negeri Perak, Yougan Mahalingam menyifatkan bahawa isu meraikan Pesta Ponggal ini tidak seharusnya terjadi di dalam negara Malaysia yang sekian lama telah didiami oleh masyarakat berbilang kaum.

Advertisement

Menurutnya, tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran memaksa umat Islam terlibat meraikannya amat layak menerima tentangan terutamanya bagi masyarakat beragama Islam.

Bukan itu sahaja, mereka juga turut mempertikaikan arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan yang melarang pelajar Islam di semua sekolah menyertai sambutan ini berikutan pengisytiharan haram untuk disambut oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Mereka perlu sedar akan maksud kebebasan agama. Tindakan mereka untuk mempertikaikan keputusan Kementerian Pendidikan ini tidak seharusnya dilakukan kerana ia menggangu sensitiviti agama lain.

“Kita sedia maklum, kebebasan beragama ini merupakan hak asasi yang fundamental kepada manusia sejagat. Namun, kita tidak boleh mempertikaikan atau lebih lagi meminta agama lain turut meraikan sambutan Ponggal ini,” terangnya ketika ditemuramah HarakahDaily.

Yougan turut mengulas, usaha memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini tidak semestinya dengan medium meraikan upacara kepercayaan agama lain, kerana setiap agama mempunyai pegangan yang berbeza.

“Sebagai pimpinan utama yang menerajui kerajaan, Tun Mahathir yang juga merupakan Pemangku Menteri Pendidikan hendaklah memainkan peranan beliau sebaiknya. Ketegasan beliau dalam hal ini amat diharapkan bagi menyekat isu ini terus berlarutan,” tegas Yougan. – HARAKAHDAILY 19/1/2020