Pengaruh: Bermain isu atau dipermainkan?

FRAME yang sama

(1)     Isu yang berlegar di tanah air kita pada hari ini ialah Upacara Ponggal dijadikan isu. Kita perlu sedar, ia hanyalah permainan politik golongan-golongan tertentu.

Framenya sama sahaja. Tujuan mereka seolah-olah memaksa Umat Islam menerima dan merayakan Ponggal semata-mata nak ungkit kerja kerja BN satu ketika dahulu.

(2)     Pada 2011 khususnya sudah ada isu perayaan Ponggal yang disertai oleh orang Islam. Perbahasan hukum-hakam juga telah diutarakan dengan jelas.

Isu ini dibangkitkan semula bukan hanya sekadar Agenda Pluralism, tetapi yang sebenarnya mereka nak attack Muafakat Nasional antara BN dan PAS.

(3)     Menggambarkan seolah olah dulu masa Umno-BN memerintah ada orang Islam yang menyertai Ponggal. Tetapi hari ini PAS bersama Umno atas nama Muafakat Nasional.

Seolah-olah nak menggambarkan PAS itu tiada prinsip, boleh bertukar-tukar hukum, tunggang agama dan sebagainya. Perlu faham frame ini.

(4)     Kerap kali mereka cetuskan isu dengan frame yang sama, tetapi kita sering terpukau dengan isu-isu yang dihidangkan dalam akhbar dan media.

Di dalam hal ini, kita perlu bezakan antara kulit dan intinya. Mereka hari ini cuba menyerang kesatuan Islam, maka kita sepatutnya fahamkan tentang erti kesatuan Islam

Crowdocracy

(1)     Antara yang menjadi kegusaran PH ialah apabila PAS bergabung dengan Umno. Dalam masa yang sama, PAS dan Umno tak boleh mendabik dada terus menyatakan kemenangan.

Sebaliknya perlu perhatikan anak-anak muda kita yang masih ramai belum mendaftar undi. Apatah lagi ramai juga yang sudah muak dengan dunia politik.

Hal ini perlu diambil kira dalam kita berseronok menjulang harapan menang. Perlu sedar bahawa dunia sedang berubah ke arah Crowdocracy.

(2)     Jangan terikat dengan formula, ‘siapa ramai dia menang’. Kerana sudah banyak kemenangan itu dijuarai oleh golongan yang sedikit, berbekalkan ‘pengaruh’.

Itulah yang boleh diterjemah daripada Crowdocracy. Walaupun istilah ini tidaklah menafikan terus manfaat bilangan. Beza antara Demokrasi dan Crowdocracy ialah ‘pengaruh peribadi’.

(3)     Justeru, PAS dan Umno perlu membina pengaruh, bukan hanya sekadar mengejar bilangan. Ini kerana, dengan menghidupkan pengaruh, bilangan itu akan naik dengan sendirinya.

Boleh pelajari daripada Sirah Nabi Muhammad S.A.W. Daripada mula, hingga ke akhirnya lebih menekankan ‘pengaruh’ berbanding bilangan.

Bahkan, pengaruh Nabi S.A.W terbina dari pasakan aqidah, hujah yang realiti dan strategi yang terancang. Perkara ini kadang-kadang diabaikan oleh ahli gerakan Islam sendiri.

Pengaruh Nabi S.A.W

(1)     Saya tidaklah mengaitkan ‘pengaruh’ itu dari aspek keduniaan. Akan tetapi bagaimana kehidupan Nabi S.A.W itu memberi pengaruh yang besar dalam mencorakkan masyarakat.

Contohnya Nabi S.A.W sejak kecil dikenali sebagai orang yang ‘bersih’ daripada penipuan. Digelar al Amin kerana kepercayaan masyarakat terhadap kejujurannya.

(2)     Hari ini antara yang menjadi krisis terbesar bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia politik ialah ‘penyakit menipu’. Sehingga penyakit ini dengan sendirinya terpahat dalam minda rakyat.

Rakyat seakan-akan sudah boleh menyimpulkan bahawa ‘ahli politik itu mesti menipu’ dan seolah-olah sudah sebati politik diterjemahkan dengan tipu helah.

(3)     Penyakit menipu inilah yang menjadi halangan terbesar dalam pembinaan pengaruh. Seolah-olah sangat sukar untuk mencari ahli politik yang jujur.

Hal ini pastinya akan memberi kesan apatah lagi Generasi Z yang sudah muak dengan politik kerana terlalu tebal dengan penipuan. Mereka sudah menyampah.

(4)      Lalu mereka mengambil pendekatan meninggalkan dunia politik kerana terlalu sarat dengan penipuan. Apatah lagi di era pemerintahan PH hari ini, ia semakin jelas.

Dunia bakal berlaku pertembungan yang besar, iaitu antara politikus tua yang menipu dan ahli politik muda yang dilihat benar-benar ingin melaksanakan agenda rakyat.

Berfikir untuk masa depan

(1)     Realiti pertembungan antara Kaum Tua dan Kaum Muda bakal terjadi sekali lagi. Bukan dalam dunia perbezaan mazhab, akan tetapi dalam dunia politik.

Pertembungan ini akan melahirkan anak-anak muda yang bangkit menjatuhkan politikus-politikus tua yang dilihat sudah sebati dengan penipuan.

(2)     Inilah realiti sebenar Crowdocracy pada masa depan. Jika kita kaji Sirah Nabi S.A.W, sudah cukup untuk mengajar kita menjadi ahli politik yang sebenar.

(3)     Permainan PH yang menggunakan frame yang sama boleh jadi memakan diri mereka sendiri. Boleh jadi menjauhkan anak muda dari alam politik.

Sebab itulah hari ini kita perlu mula berfikir untuk masa depan. Caranya dengan kembali kepada Sunnah Nabi S.A.W. Bukan terikut dengan gaya politikus Barat yang hanya menayangkan gimik dan populis.

(4)     Isu Ponggal hanya frame mereka. Kita tidak perlu terikut dengan frame mereka. Bina pengaruh, khususnya buat Generasi Z yang mendahagakan hujah, bukannya angka angka ramalan.

(5)     Antara lain, pengaruh Nabi S.A.W ialah hujah yang realiti. Bukan hanya meniupkan sentimen keIslaman, akan tetapi berhujah memasarkan Islam.

Lihatlah, Nabi S.A.W menyeru para Sahabat R.A berperang dengan berbekalkan kefahaman. Bukan dengan membakar sentimen kebencian. Hal ini akan dihurai dalam artikel lain, insyaAllah.

Realiti tanah air

(1)     Realiti di Malaysia hari ini perlu dicermati. Beberapa figure dalam PH mula berundur bukan saja-saja. Saya yakin ada maksud di sebalik tabir.

Apatah lagi PH di ambang kekarutan. Maka, sekarang ini masa yang baik untuk berundur bagi menyelamatkan ‘pengaruh’ peribadi. Maszlee, Rafizi, Izzah dan mungkin ramai lagi.

(2)     Masing-masing berundur bukan saja-saja. Pasti akan muncul kembali dekat-dekat PRU15 dengan wajah yang baru. Mungkin juga sebagai seorang non-partisan.

Ketika itu mungkin Malaysia sudah ‘terjangkit’ dengan fenomena antarabangsa yang beralih angin ke arah Crowdocracy. Dunia lebih rencam buat gerakan Islam.

(3)     Bagi seorang politikus, hari ini adalah masa yang terbaik bagi Tun M melepaskan jawatan PM kepada Anwar kerana hari ini PH berada di ranking pengaruh yang sangat teruk.

Di saat PH sudah dipandang buruk, dipimpin pula oleh Anwar yang gelojoh mengejar impian. Membuatkan rakyat semakin menyampah dengan PH. Manakala Tun M akan terselamat, kerana dilihat mengotakan janjinya.

(4)     Tetapi sebagai seorang Islam, saya melihat penyerahan jawatan kepada Anwar lebih berisiko. Iaitu risiko terhadap Islam dan Malaysia.

Dasar-dasar negara akan bertukar dengan ‘segelojohnya’ oleh PH bagi mengejar impian mereka. Justeru, berwaspadalah dengan lidah-lidah politikus. Bersedia dengan peralihan zaman.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/1/2020

Advertisement