30 Tahun MBI: Syarahan khas Presiden PAS 5 Feb

KOTA BHARU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bakal menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Pemetaan Baru Dunia Islam’ pada 5 Februari depan di Balai Islam Lundang, di sini.

Pengarah Program, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, majlis yang diadakan sempena tiga dekad pentadbiran ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI) ini bagi memberi pendedahan pergolakan dunia Islam kebelakangan ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen Marang itu dijangka memberi solusi terhadap krisis terbabit, selain pendekatan yang sesuai digunakan terhadap isu melibatkan umat Islam di peringkat dunia global.

Advertisement

“Oleh itu kita menjemput tokoh akademik serta golongan cendekiawan yang merupakan sasaran utama peserta program tersebut.

“Selain itu kita juga menjemput saudara baru, Ketua agama dan kaum bukan-Islam turut hadir.

“Ia juga dijangka mampu menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan  musuh Islam dan bertujuan mendedahkan lakaran peta politik melalui pendekatan al-Quran dan sunnah Nabawi,” terangnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar JKR 10 di sini petang tadi yang turut dihadiri anggota-anggota Exco iaitu Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan. – HARAKAHDAILY 21/1/2020