AirAsia bawa ‘brand’ Kelantan ke seluruh dunia

KUALA LUMPUR: Tidak lama lagi sebuah pesawat AirAsia yang mempromosikan industri pelancongan Kelantan boleh dilihat di mana-mana di seluruh dunia.

Pesawat itu akan memaparkan imej keunikan di Kelantan kini dalam proses penyiapan paparan di badan pesawat dengan imej ‘Kelantan Di Hatiku’.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerja-kerja menyiapkan imej itu dijangka siap sepenuhnya minggu ini.

“Kempen melawat Kelantan menggunakan  pesawat akan berlangsung selama dua tahun dengan membawa ‘branding Kelantan in the Sky’ ke seluruh destinasi-destinasi utama.

“Pesawat terbabit melibatkan penerbangan enam sektor sehari dijangka membawa lebih 630,000 penumpang serta 3.5 juta views selama dua tahun pesawat itu terbang,” katanya selepas melawat pesawat terbabit hari ini.

Lawatan ke Pusat MRO Air Bus Sepang turut disertai Penasihat Undang-undang Negeri Dato’ Shahidani Abdul Aziz, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Hadir sama Adun Tendong Rozi Muhamad, Adun Chempaka Ustaz Ahmad Fathan Mahmood dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof.

Ketibaan rombongan dari Kelantan disambut Pengasas Bersama AirAsia Berhad, Dato’ Aziz Bakar. – HARAKAHDAILY 21/1/2020

Advertisement