Barangan harga patut di Pasar Rakyat Prihatin

PASIR GUDANG: PAS Kawasan Pasir Gudang telah mengadakan program Pasar Rakyat Prihatin buat kali kedua bertempat di Taman Rinting, di sini kelmarin.

Advertisement

Penganjuran tersebut berikutan perhatian menggalakkan daripada penduduk setempat yang sememangnya mahu mendapatkan barangan harian dengan harga sangat berpatutan.

Inisitif ini diketuai sendiri oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Pasir Gudang, Ab Aziz Abdullah dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan serta Lajnah Asas Tani PAS Pasir Gudang.

Objektif program ini adalah sebagai menyambut usaha memperkenalkan produk buatan Muslim kepada masyarakat selaras dengan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF).

Menurut Abd Aziz selaku Penyelia Pasar Rakyat Prihatin, program ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh PAS.

“Untuk kali kedua bagi tahun 2020 berprogram di Taman Rinting tetap menjadi tumpuan penduduk. Kami sangat gembira sebab dapat membekalkan pelbagai jenis ikan segar, sayuran dan barangan keluaran Muslim sepenuhnya.

“Program ini satu usaha yang baik dan perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan penduduk setempat mendapat bekalan barangan harian dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Sempena program dengan bantuan PAS Cawangan Taman Rinting itu juga telah diadakan sumbangan sekampit beras kepada asnaf setempat. – HARAKAHDAILY 21/1/2020