CMEC: Myanmar dan pengaruh China

MYANMAR hari ini

(1)     Myanmar hari ini menjadi salah sebuah negara yang sedang diperhatikan oleh dunia. Amerika khususnya telah lama mendapati perubahan Myanmar.

Asalnya negara yang ‘tertutup’, iaitu ‘kamceng’ betul dengan China. Tetapi hari ini menjadi sebuah negara yang lebih bebas, tidak terikat dengan sebarang kuasa untuk mempengaruhinya.

(2)     Antara contoh simbol kebebasan tersebut ialah Myanmar telah membatalkan projek Empangan Myitsone pada 2011 yang bernilai USD3.6 Billion dengan alasan ekosistem kesemulajadian.

Projek yang menjadi lambang penguasaan China dan kontroversi ini akhirnya tergantung begitu sahaja sehingga kini, walaupun ada ura-ura akan disambung semula pada 2016.

(3)     Pada penghujung 2011, Setiausaha Negara Amerika ketika itu, Hillary Clinton telah melakukan kunjungan ke negara tersebut bagi membina hubungan.

Kelihatan seolah-olah Amerika cuba nak ‘masuk line‘, bagi menyaingi pengaruh China di Myanmar, melalui signal kebebasan Myanmar yang diberikan sebelum itu.

(4)     India yang dilihat sebagai pesaing China ketika itu juga turut ‘masuk line‘ apabila melaburkan USD120 juta untuk membina pelabuhan Sittwe yang merupakan tempat etnik Rohingya (Rekhine).

Ia merupakan sebahagian projek Kaladan Multi-Modal Transit Transport Project (gambar 1) yang menelan kos USD484 juta, yang menghubungkan pelabuhan Kolkata-Sittwe.

Advertisement

Amerika-Myanmar-China

(1)     Projek India yang diceritakan tadi, berada di ruangan zon berkonflik. Iaitu Konflik Chin, dan juga Konflik Rohingya. Kedua-dua konflik ini perlu diperhatikan, lebih-lebih lagi isu Rohingya.

Hari ini Gambia sebuah negara Islam yang kecil, telah mengheret Myanmar ke Mahkamah dalam isu penindasan terhadap Umat Islam sambil ‘dipeguamkan’ oleh S. Paul Reichler dari Amerika.

(2)     Isu ini ternyata menjadi beban kepada-kepada Ang Sung Suu Kyi dalam melaksanakan dasar negaranya. Apatah lagi beliau dilihat mempertahankan tindakan tersebut.

Kalau sebelum ini kita lihat Gambia sebagai hero Umat Islam, namun dalam isu ini kita perlu mengkaji sedalam-dalamnya, bimbang ada udang di sebalik batu.

(3)     Hari ini menyaksikan persaingan yang lebih rancak apabila Amerika dan China telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Fasa 1. Masing-masing ada untung dan ruginya.

Tetapi Amerika sangat berkeyakinan bahawa agenda ini menguntungkan mereka setelah beberapa siri tekanan yang diberikan kepada China dalam banyak isu termasuk isu Uyghur.

(4)     Dalam masa yang sama, China juga tidak mengalah, mereka teruskan dengan membuat persefahaman dengan Myanmar bagi membina Koridor Ekonomi China-Myanmar.

Apatah lagi Myanmar sedang ditekan dalam isu Rohingya. Seolah-olah China menggambarkan kepada Amerika bahawa mereka tidak terkalah dengan psywar Amerika untuk menjuarai Trade War.

Merebut kepentingan

(1)     Apa yang kita perlu perhatikan ialah, projek China ini merupakan salah satu pelan perancangan BRI yang dicetuskan sejak 2013, seolah-olah membina jaringan ekonomi China menguasai dunia.

Apa yang kita bimbangkan ialah, apabila bertembung antara China dan Amerika, mangsanya ialah Umat Islam. Sama ada mangsa penindasan, atau menjadi alat psywar.

(2)     Frame yang biasa kita lihat, apabila berlakunya konflik di sesebuah tempat, pastinya ada kuasa-kuasa yang sedang merebut kepentingan.

Sangat banyak untuk dijadikan contoh. Rekhine adalah tempat orang Islam Rohingya yang menjadi konflik, rupa-rupanya tempat itu adalah lokasi yang hot sepertimana yang diceritakan tadi.

(3)     Kesimpulannya, Myanmar menjadi medan persaingan antara China dan Amerika. Asalnya Myanmar sangat kamceng dan ‘taksub’ dengan China.

Namun setelah lawatan Amerika pada 2011, mereka menjadi negara terbuka. Menerima pelaburan Barat. Tetapi disebabkan isu Rohingya yang dimainkan oleh Barat memaksa Myanmar kembali rapat dengan China.

(4)     Yang terbaru, projek China untuk mengeratkan kembali hubungan dengan Myanmar ialah dengan membina Jaringan Koridor Ekonomi China-Myanmar yang diceritakan tadi.

Di pihak Myanmar pula, Ang Sung Suu Kyi semakin rapat dengan China, akibat tindakan Amerika main saraf isu Rohingya yang secara tak langsung membebankannya.

CMEC

(1)     Apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Koridor Ekonomi China-Myanmar (CMEC)? Ia adalah beberapa projek infrastruktur yang menyokong hubungan antara kedua-dua negara itu (gambar 2).

Iaitu sebuah pelan pembangunan infrastruktur yang memerlukan pembinaan jalan dan kereta api dari Wilayah Yunnan di China melalui Muse dan Mandalay ke Kyaukpyu di Daerah Rakhine.

(2)     Laluan pengangkutan ini dibina berikutan wujudnya laluan paip gas dan minyak yang telah dibina sejak tahun 2013 dan 2017 (gambar 3).

Penghujung laluan ini ialah Pelabuhan dan Zon Ekonomi Khas dirancang di Khaukphyu, di Rekhine yang digambarkan sebagai ‘lokasi panas’ berikutan isu penindasan Rohingya.

(3)     Projek pembinaan terbesar di sepanjang laluan ialah 431km Muse-Mandalay Railway, adalah satu projek besar yang dianggarkan bernilai USD9 bilion. 

Kereta api yang baru dibina akan menghubungkannya dengan rangkaian kereta api China di Ruili, wilayah Yunnan. Jelas kelihatan projek BRI China.

(4)     Projek ini dilihat menguntungkan kedua-dua belah pihak. China dapat memendekkan jarak pengangkutan sumber tenaga, dengan melalui jalan darat China-Myanmar tanpa perlu melalui Selat Melaka.

Selain itu, China juga berjaya mengeratkan hubungan dengan negara-negara jiran yang dilihat kritikal di sekitar laluan Lautan Hindi, yang menjadi projek BRI.

Dalam masa yang sama, Myanmar dapat berpaut dengan China selaku kuasa besar dalam isu Rohingya khususnya yang ditekan di peringkat Antarabangsa.

Akhir zaman

(1)     Sekiranya China dan Myanmar kekal maintain dalam keadaan sekarang, boleh jadi projek empangan Myitsone yang tergendala sejak sekian lama bakal disambung semula.

Sekiranya empangan tersebut siap dibina, ia ‘membesarkan’ lagi pengaruh China sebagai sebuah kuasa yang mendominasi Eurasia, yang menjadi kerisauan Amerika sejak kekalahan Soviet 1991.

(2)     Dengan jalinan kerjasama dengan Myanmar itu juga memberi keuntungan yang besar buat China menguasai laluan Lautan Hindi, tambahan pula China agak berpengaruh di Sri Lanka.

Menjadikan kawasan Bay Of Bengal menjadi laluan utama China menggantikan Selat Melaka. Apatah lagi pelabuhan Khaukphyu di Rekhine bakal dimajukan.

Pelabuhan tersebut sedang dirancang untuk dinaik taraf, ditambah pula dengan kedalaman laut di Rekhine sangat sesuai dengan laluan perkapalan.

(3)     Jaringan-jaringan laluan darat atau laut yang menjadi persaingan ini seakan-akan mengiyakan hadis Nabi S.A.W;



لا تقوم الساعة حتى تظهر الفتن ويكثر الكذب وتتقارب الأسواق ويتقارب الزمان

“Tidak akan terjadinya kiamat itu sehinggalah terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar pasar semakin dekat, dan masa semakin singkat.”

(Riwayat Imam Ahmad)



Masa semakin singkat dan pasar semakin dekat, selain menggambarkan kemajuan teknologi pengangkutan, ia juga menggambarkan jaringan laluan yang semakin efisyen.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 21/1/2020