Faham isu dari pimpinan, jadikan Harakah rujukan

TAPAH: Kesatuan fikrah terutama dalam memahami isu-isu semasa penting diperolehi dengan mendapatkan maklumat dan penerangan daripada para pimpinan PAS yang boleh didapati melalui Harakah cetak atau versi atas talian HarakahDaily.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Tapah, Ahmad Othman Maseri berkata, ahli PAS terutamanya mesti menjadikan kedua-dua lidah rasmi parti itu sebagai sumber terawal maklumat atau ‘first hand info’ sebelum menerima daripada saluran-saluran lain.

Menurut beliau, cara demikian dapat mencegah keciciran ahli serta mengelakkan hati daripada berbolak-balik akibat kecelaruan maklumat dan kefahaman, sebaliknya istiqamah dalam PAS bersama agenda perjuangan dibawa parti.

Selain itu serunya, ahli juga dapat membantu menjana ekonomi PAS dengan meningkatkan semula perolehan maklumat dari kedua-dua sumber termasuk dengan membuat langganan edisi cetak secara tetap iaitu pada setiap terbitannya.

Saranan dan nasihat tersebut disuarakan beliau di hadapan para perwakilan PAS Cawangan seluruh Kawasan Tapah ketika Perasmian Serentak Mesyuarat Agung PAS Cawangan-cawangan di Markas Tarbiyah PAS Jalan Bidor, di sini baru-baru ini.

Beliau juga meneguhkan keyakinan seluruh perwakilan dengan ingatan bahawa perjuangan PAS menuntut istiqamah kerana ianya merupakan kesinambungan taklifan usaha para Nabi dan Rasul untul mempersadakan agama Allah S.W.T.

Mesra dengan panggilan Cikgu kepadanya, beliau juga menjelaskan betapa keberadaan dalam jamaah dan menjalankan mesyuarat seperti ini merupakan medan meninggikan mahabah dan kasih sayang sesama ahli selain muhasabah dan merangkan strategi dan aktiviti.

Dalam keadaan keuzuran dan kesihatan yang kurang mengizinkan itu, beliau tetap menyatakan iltizamnya bersama seluruh ahli PAS Tapah dan perjuangan ini hingga ke akhir hayat tanpa ada alasan untuk berhenti. – HARAKAHDAILY 21/1/2020