Muslimat-Wanita IM sedia hadap cabaran politik

INDERA MAHKOTA: Muslimat PAS Kawasan dan Wanita Umno Bahagian bagi Parlimen Indera Mahkota telah mengadakan pertemuan rasmi kedua pihak di Pejabat Umno Indera Mahkota, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Majlis julung kali ini dilangsungkan sebagai menjalin kemesraan kedua-dua belah pihak atas semangat Muafakat Nasional demi kebersamaan dalam memperjuang dan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Ini adalah langkah pertama kami untuk meneruskan gerak kerja bersama dalammemastikan Muafakat National di Indera Mahkota mendahului PH melalui program kebajikan terutamanya,” kata Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Salleh.

Serunya, keberadaan dalam perjuangan ini mesti disertakan dengan rasa syukur kerana dipilih Allah dan perlunya menjaga tanggungjawab sebaik-baiknya agar Allah tidak gantikan dengan pihak lain.

Menurutnya, biarpun terdapat mereka yang telah lari dari perjuangan ini, namun kepada masih tinggal, hal tersebut tidak pernah melemahkan, malah Allah tunjukkan dengan gantian lebih baik lagi.

“Kita jangan mudah rasa selesa dgn kemenangan di atas kertas apabila dicampur undi PAS dan Umno kita telah menang mengikut kajian keputusan PRU14. Sedangkan PH telah bekerja keras siang dan malam.

“Mereka menggunakan segala kemudahan yang ada seperti sekolah melalui PIBG, SPR untuk mendapatkan kemenangan yang mudah agar mereka terus kekal berkuasa.

“Kita juga hendaklah mengutamakan perkara-perkara yang patuh syariah dalam semua gerak kerja kita dan elakkan segala sebaran yang berbentuk fitnah dan cacian serta kutukan atau melampau,” ujarnya lagi.

Manakala Ketua Wanita Umno Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusof melahirkan rasa gembira dan terharu kerana sebelum ini kedua pihak saling berseteru dalam perjuangan, tetapi kini bersaudara.

“Pertemuan ini bukanlah pertemuan sekali sahaja, bahkan ianya akan berpanjangan dan berterusan sampai bila-bila sehingga akhir hayat kita. Kita mesti perkemaskan dan memperkuatkan jihad kita hingga ke akar umbi, demi menerajui kepimpinan negara tercapai.

“Kita akan bersama-sama dalam gerakerja untuk mencapai kemenangan dan mengalahkan di mana saja kerusi PH dipertandingkan,” katanya dalam perjumpaan tersebut. – HARAKAHDAILY 21/1/2020