PRK P.176: Bukti anak muda bersama Muafakat Nasional

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua anak muda Kimanis yang telah menggembleng kekuatan memenangkan dan menobatkan Datuk Mohamad Alamin dari Barisan Nasional sebagai Ahli Parlimen Kimanis yang baharu.

Hasil kajian yang dijalankan, anak muda menjadi undi penentu apabila banyak saluran peti undi anak muda telah berpihak kepada Barisan Nasional dalam PRK Kimanis yang lepas. Ia menunjukkan keyakinan anak muda sudah kembali pulih kepada parti pembangkang khususnya di Sabah.

Ternyata, penolakan anak muda kepada parti yang memerintah iaitu Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan akibat kegagalan tadbir urus, janji-janji yang tidak dapat ditunaikan. Ia sekali gus bakal menjadi ‘trend’ anak muda menjelang PRU-15 akan datang bagi mencipta titik kejayaan Muafakat Nasional.

Di samping itu, rata-rata anak muda kini melihat permuafakatan parti pembangkang khususnya di Kimanis seperti PAS, BN, STAR, PBS dan PBRS menjadi indikator ampuh dalam koalisi semasa yang sangat signifikan bagi menerajui politik negeri Sabah dan di peringkat Nasional.

Tidak dinafikan, kemenangan Datuk Mohamad Alamin di Kimanis juga memaparkan penerimaan lapisan masyarakat terhadap formula Muafakat Nasional dalam konteks negeri Sabah yang diterajui Barisan Nasional dan PAS dalam memenuhi cita rasa politik masyarakat khususnya Bumiputera Islam di Kimanis sehingga mendapat majoriti yang agak besar daripada keputusan PRU14 yang lepas.

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua anak muda yang telah bangkit membuat perubahan, dan pemuda parti pembangkang lain seperti pemuda BN, PBS, STAR, MCA, PBRS dan beberapa NGO tempatan yang berpartisipasi dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis yang telah berlalu. Semoga permuafakatan ini terus melebar demi kebaikan anak muda di negeri ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Sabah – HARAKAHDAILY 21/1/2020

Advertisement