Reformasi: Api perjuangan yang kian padam

DUA perkataan ini menjadi popular pada zaman yang sama. Satu dimasyhurkan oleh tertuduh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu lagi sering keluar dari mulut sang hakim, Tan Sri Augustine Paul yang membicarakan tertuduh. Perkataan ini sering berlawanan antara satu sama lain. Memberikan gambaran betapa kuatnya pengaruh kes tersebut.

Reformasi mengungguli perlawanan kerana pada ketika itu, majoriti rakyat mempercayai tertuduh telah dizalimi oleh sang penguasa yang kemudiannya turun dari jawatannya, tetapi sekarang dinaikkan semula oleh golongan yang membencinya dahulu. Waktu itu, barangsiapa yang membenci reformasi, bermakna mereka sedang menempah kehinaan majoriti rakyat Malaysia.

Masa itu sememangnya reformasi diperlukan kerana melihat kepada kegagalan demi kegagalan yang terjadi dalam pemerintahan. Ianya bukan kegagalan dari segi materi. Bahkan ketika itu, Malaysia sedang hebat membangunkan negara dengan senarai yang panjang. Tetapi gagal yang dimaksudkan ialah dalam erti kata konsep integriti, keagamaan, kemanusiaan.

Dengan kegagalan dalaman itu, maka kejayaan luaran juga tidak membawa apa-apa makna bagi golongan yang mempunyai integriti yang tinggi. Ini kerana ada banyak kes seperti penyelewengan atau salah guna kuasa, bermaharajalela dalam pemerintahan. Hasilnya, harga barang-barang keperluan turut naik. Yang miskin, kekal miskin. Oleh itu desakan supaya BN dikalahkan bergema begitu kuat.

Takdir Allah, Terengganu berjaya ditawan PAS dengan gelombang reformasi ini. Terengganu menunjukkan contoh pemerintahan yang sangat baik, sama seperti Kelantan yang sudah memerintah 10 tahun lebih awal. Tiada kes penyelewengan dilaporkan. Walaupun sehingga kekalahannya, Kerajaan BN masih tidak dapat menunjukkan mana salah tadbir dan urus yang berlaku, yang didakwa terjadi sebelumnya.

Misi menumbangkan BN pada peringkat nasional diperkukuhkan atas asas reformasi tadi. Masih rakyat menanti akan reformasi kepada pentadbiran yang dilihat sangat teruk itu. Tahun 2008 pula, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah pula bertukar pemerintah kepada PR, selain mengekalkan Kelantan. Maka rakyat mula membuka mata, memerhati dengan serius perubahan yang dijanjikan, untuk berlaku.

Alhamdulillah semua negeri yang ketika itu di bawah Pakatan Rakyat, menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan, terutama Selangor yang berada di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim tidak ketinggalan juga Kedah di bawah PAS. 2013, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, kekal di bawah PR. Tetapi dua negeri di bawah PKR dan DAP, sudah mula menunjukkan beberapa perubahan yang agak mengecewakan.

MB Selangor diturunkan dengan fitnah. Pulau Pinang pula mula meminggirkan Melayu Islam, sedikit demi sedikit. Saya mendengar aduan daripada salah seorang kakitangan yang berkerja di Pulau Pinang berkenaan peminggiran secara strategik kakitangan Melayu Islam di sana, dalam sebuah dialog Perantau Terengganu dengan kempimpinan PAS Terengganu.

Isu-isu seperti SPLASH, rumah-rumah urut, perjudian, kroni dan banyak lagi, mula kedengaran. Maka PAS dilihat sebagai rakan yang menyusahkan kerana sering menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan kehendak kerajaan kedua-dua negeri itu. PAS dipinggirkan secara berperingkat. Akhirnya DAP keluar dari Pakatan Rakyat, tetapi masih kekal dengan Kerajaan Selangor.

Dan, sebelum PRU14, PKR pula telah dengan sah memutuskan hubungan dengan PAS, sambil menuduh PAS ada kerja jahat di belakang bersama Umno. Dengan fitnah yang sangat dahsyat itu, mereka menang PRU14, dan menjadi kerajaan bagi seluruh negara.

Mereka sebenarnya mempunyai masa yang sangat lama bagi membuktikan reformasi yang mereka janjikan dahulu, menjadi teras kepada sistem pemerintahan mereka. Daripada perancangan yang mereka kemukakan, hampir semuanya tidak menjadi. Mereka ternyata gagal. Sekarang rakyat melihat tiada apa-apa perubahan yang signifikan bagi dinikmati oleh rakyat Malaysia, atas janji-janji reformasi mereka dahulu

Rasuahnya tidak mengurang, ekonominya makin teruk, menipunya tidak ubah seperti kerajaan lama, berbelitnya persis BN, berebut kuasanya lebih teruk dari BN, mencampuri urusan negeri-negeri seperti penubuhan MPKKP, sama seperti JPP yang dahulu mereka tentang. Hutang negara makin naik, hutang Pusat kepada negeri ditangguh, royalti ada yang disekat, janji 20 peratus royalti tidak ditunaikan.

Harga minyak tidak turun, malah lebih mahal dari zaman BN, PTPTN, tol masih wujud yang semua ini menyebabkan harga barang semakin meningkat. Banyak lagi hal-hal lain yang mereka marah dibuat BN dahulu, kini mereka pula yang mengambil alih. Isu agama dan bangsa juga membarah dimainkan. Maka di manakah relevannya reformasi ini jika segalanya tidak berkurang, sebaliknya semakin membarah?

Hanya satu tempat gerakan reformasi ini sangat diperlukan iaitu mahu mengangkat DS Anwar menjadi PM. Itu sahaja. Maka reformasi ini sekali gus boleh kita nobatkan sebagai perjuangan memberikan kuasa kepada DS Anwar dan keluarganya. Ianya jelas satu perjuangan sia-sia. Dibuktikan apabila ada permusuhan dalaman PKR, maka otai-otai reformasi ini pun keluar dari sarang mereka semua.

Mereka mula mengimbau kembali perjuangan suci mereka bagaikan tiada pertolongan daripada pihak lain. Mereka juga meratib-ratib nama-nama pejuang sebenar reformasi ini. Tidakkah anda sedar yang mereka tidak pula membantah kepincangan pemerintahan PH yang lebih teruk dari BN itu. Yang mereka laungkan ialah DS Anwar mesti menjadi PM. Mana-mana yang menghalangnya, akan diserang mereka.

Sedangkan nasib rakyat yang konon mereka perjuangkan, tetaplah merana dan menerima nasib yang sama seperti dahulu. Tun juga yang mereka maki hamun dahulu, tidak pula mereka lawan sekarang. Tetapi sesama sendiri, mereka berpecah dan bertumbuk serta berpuak-puak kerana mahu mengangkat Anwar. Itulah reformasi sebenar mereka.

Mujur PAS sedar dan menjarakkan diri daripada mereka yang terbelit dengan najis politik yang sangat kotor. PAS jelas mengambil kesempatan dalam peluang memerintah, menunjukkan corak pemerintahan yang mendekati petunjuk agama, walau tidak sempurna. Sedang dalam kebencian itu, mereka terpaksa mengakui kekuatan pemerintahan PAS.

Siapa tak kenal MB Terengganu dan Kelantan? Manifesto Terengganu hampir semua sudah dibuat, hutang negeri dengan Kerajaan Pusat hampir selesai, Bajet Kelantan surplus sudah beberapa tahun. Rakyat negeri lain amat cemburu atas kejayaan dua negeri ‘lebai’ PAS ini. Inilah reformasi yang sebenarnya yang telah berjaya ditunjukkan dengan pelaksanaan dibanding dengan BN dahulu dan PH sekarang.

PAS amat mengharapkan agar BN akan berubah ke arah kebaikan. Dan oleh kerana BN mempercayai PAS adalah rakan yang amanah, semestinya mereka meniru corak PAS yang berlatar belakangkan agama. Kemudiannya digabungkan dengan pengalaman mereka memerintah lebih 60 tahun itu. Bagi ahli-ahli BN yang masih degil, mahu bermusuh dengan PAS, patut dikeluarkan. Biarlah mereka duduk bersama PH yang sudah lima kali ditolak rakyat dalam PRK.

Jelaslah kepada kita bahawa reformasi yang mereka bermati-matian perjuangkan sebelum ini, sudah tidak relevan lagi sekarang ini. Reformasi yang mereka janjikan, rupanya hampir sama dengan apa yang dilakukan BN dahulu. Dan teramat jauh daripada corak yang PAS terapkan. Mereka mempersia-siakan kepercayaan dan perjuangan rakyat walaupun peluang mereka merubahnya sangat luas.

Mungkinkah jika Tan Sri Augustine Paul masih ada, beliau akan merasa bangga kerana setelah 20 tahun, perkataan tidak relevan yang beliau popularkan itu kini menang ke atas perkataan reformasi itu?

Kelihatannya kumpulan reformasi ini akan sekali lagi bertembung dengan Tun M, watak penjahat utama yang mereka gelarkan Maha Firaun dahulu, sekiranya mereka masih tegar dengan niat mereka mahu menobatkan DS Anwar menjadi PM. Tetapi gabungan kali ini sudah berubah dengan PAS, satu-satunya parti yang tidak terpalit dengan salah laku memilih untuk tidak bersama mereka lagi.

Amat pasti, mereka juga akan dibenci rakyat kerana sikap mereka itu yang sudah ke tahap memualkan. Dengan adanya pula teori yang mengatakan bahawa kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi, tanpa PKR yang menyokong DS Anwar dan DAP, ianya menjelaskan lagi harapan reformasi yang semakin kabur itu.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 21/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement