KB pusat penerbangan domestik tertinggi

KUALA LUMPUR: Syarikat Laduni Service Sdn Bhd menjangkakan pada 2025 hingga 2030, Kelantan muncul sebagai sebuah negeri yang menerima penerbangan domestik tertinggi di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Syed Anuar Syed Ahmad berkata, Kota Bharu sekarang muncul sebagai pusat penting sektor pelancongan di rantau Asia dan global.

Oleh itu beliau mencadangkan Kerajaan Negeri mempercepatkan proses naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa bagi membolehkan penerbangan antarabangsa mendarat.

“Ini sekali gus mampu merancakkan lagi ekosistem pelancongan negeri tersebut kerana Kelantan merupakan negeri berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai rombongan Kerajaan Kelantan meninjau projek melakar lukisan destinasi pelancongan Kelantan di badan pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2, semalam.

Lawatan itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.

Sebuah pesawat AirAsia jenis Airbus 320 dilengkapi lukisan keunikan lokasi pelancongan di Serambi Makkah sempena Tahun Melawat Kelantan 2020. – HARAKAHDAILY 22/1/2020

Advertisement