10 projek LRA mini bakal atasi masalah air

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil maklum terhadap rungutan pengguna serta masalah gangguan bekalan air yang berlaku bermula tahun ini.

Pengurus Besar AKSB, Dato’ Dr Ir Azuhan Mohamed berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan krisis air dalam kalangan pengguna tidak berlaku.

Menurut beliau, AKSB membina projek Loji Rawatan Air (LRA) mini dengan kos keseluruhan bernilai RM53 juta dengan RM30 juta dibiayai oleh Kerajaan Negeri secara pinjaman.

“Dengan adanya projek ini secara tidak langsung dapat membantu sekurang-kurang 100,000 pengguna di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air.

“Projek ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan yang membabitkan 10 projek seluruh Kelantan,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Dewan Seminar, Wisma Air Kelantan di sini pagi tadi.

Pada majlis itu lebih 40 pegawai AKSB bersama-sama berikrar untuk tidak melakukan gejala terbabit bersama kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fasa pertama projek tersebut jelasnya melibatkan lima lokasi yang sudah dikenalpasti antaranya Kampung Teluk Mesira, Jelawat, Wakaf Bharu, Perol dan Kedai Buloh.

Jelas Azuhan yang memberi jaminan bahawa usaha tersebut mampu membekalkan bekalan air bersih dan terawat kepada lebih 200,000 pengguna terlibat.

Pada perkembangan sama, beliau turut memaklumkan AKSB sudah mengadakan persiapan serta persediaan bagi mengatasi masalah bekalan air sepanjang perayaan Tahun Baru Cina.

“Kita akan menempatkan tangki statik di lokasi yang dikenalpasti sering berlaku gangguan serta menyediakan sembilan lori tangki air bagi mengatasi masalah ini.

“Kita sudah melakukan persiapan yang rapi untuk hadapi musim perayaan, antaranya menubuhkan ‘task force’ di bawah AKSB bagi memastikan bekalan air mencukupi,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2020

Advertisement