Bekalan air: K’jaan PH jangan hilang arah

SATU aspek penting dalam sektor bekalan air Negeri Kedah ialah Perjanjian konsesi rawatan air kepada Air Utara Indah Sdn Bhd di 5 Loji Rawatan Air (LRA) utama dan konsesi pengendalian bekalan air di Pulau Langkawi kepada Taliwork Langkawi Sdn Bhd. Kedua-dua perjanjian konsesi (penswastaan) ini menelan kos RM120-140 juta setahun yang kini ditanggung oleh SADA.

SADA ditubuhkan sebagai syarikat pengganti Jabatan Bekalan Air (JBA) (Perjanjian Pengkopratan JBA antara SADA dengan Kerajaan Negeri) sebagai operator bekalan air yang diwujudkan atas kehendak Akta Industri Perkhidmatan Bekalan Air (Akta 655) dan Enakmen Syarikat Pengganti 2008 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.

Kedua-dua perjanjian konsesi ini akan tamat pada 31 Julai 2020 (AUISB – 30 Tahun) dan 31 Oktober 2020 (TLSB – 25 Tahun). Berdasarkan kontrak perjanjian antara Kerajaan Negeri Kedah dengan pihak swasta tersebut, semua kerja-kerja terbabit akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri berserta aset-aset termasuk semua infrastruktur loji rawatan dalam keadaan baik seperti yang terkandung dalam perjanjian.

PAS Kedah ingin menegaskan semula kenyataan sebelum ini iaitu konsesi ini tidak boleh disambung lagi dan Kerajaan Negeri wajib mempersiapkan segala keperluan untuk melaksanakan proses rawatan dan bekalan air di semua loji terbabit.

Untuk rekod, AUI memegang konsesi di lima LRA utama yang membekalkan lebih 65 peratus bekalan air terawat negeri ini. PAS Kedah mempunyai asas untuk menyuarakan kebimbangan bahawa Kerajaan berhasrat menyambung konsesi ini kepada pihak swasta berikutan beberapa perkembangan dan sikap pihak Kerajaan sebelum ini.

Penswastaan konsesi rawatan air kepada SISMA yang kini dikenali sebagai AUISB dan bekalan air ke Langkawi kepada TLSB ditentang oleh PAS sejak awal lagi.

Satu usul tergempar pernah dikemukakan oleh Bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah Almarhum Dato’ Hj Fadzil Noor sekitar tahun 2000 atau 2001 supaya perjanjian menyambung konsesi pertama tamat pada 2005 namun ia ditolak.

PAS sekali lagi menegaskan keperluan menamatkan perjanjian ini ketika menjadi Kerajaan pada 2008-2013, melalui beberapa kenyataan YAB Menteri Besar ketika itu, Almarhum Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak. Namun begitu, ia gagal ditamatkan kerana tiada klausa keluar (exit clause) yang membolehkan penamatan dilaksanakan.

Perjanjian berat sebelah

Perjanjian penswastaan ini membebankan kerajaan dan sekali gus rakyat Kedah seluruhnya. Kerajaan melalui SADA terpaksa membayar RM0.30 sen kepada AUISB bagi setiap meter padu air terawat yang dibekalkan kepada SADA, sedangkan kos sebenar proses rawatan air yang ditanggung pihak AUISB hanyalah RM0.076- RM0.082 pada tahun 2016 dan 2017, meningkat sedikit pada 2018 iaitu antara RM0.076-0.088 semeter padu.

Kerajaan juga terpaksa menanggung semua kenaikan tarif elektrik selama perjanjian ini berkuatkuasa, yang menjadikan 60 peratus kos tenaga elektrik pihak pemegang konsesi terbeban ke atas SADA. Berdasarkan pengiraan terperinci kos elektrik adalah 80 – 88 peratus daripada kos keseluruhan proses rawatan air.

Kerajaan juga terpaksa membayar bayaran air mentah kepada Lembaga Sumber Air Negeri pada kadar RM0.03 sen semeter padu melibatkan jutaan Ringgit setahun.

Kiraan tuntutan AUISB kepada Kerajaan berdasarkan pengeluaran mereka adalah seperti berikut:

a.     600,000 m3 sehari x RM0.30 = RM180,000 sehari x 365 = RM65.7juta setahun- tidak termasuk 60 peratus bil elektrik dan bayaran kepada LISAN ditanggung oleh SADA.

b.     Anggaran harga (termasuk keuntungan) jika SADA memproses sendiri air terawat termasuk jangkaan kenaikan tarif elektrik pada masa depan adalah RM0.26 semeter padu (termasuk keseluruhan kos tenaga elektrik dan bayaran air mentah) – RM61.3 juta setahun.

Anggaran kasar ini memberi penjimatan kepada SADA sebanyak RM4.4 juta dan boleh menjana keuntungan kasar sebanyak RM12 juta setahun.

Dalam harga RM0.30 sen yang dituntut oleh AUISB, terdapat bayaran management fee sebanyak RM6.5-7 juta setahun yang tidak diketahui dibayar kepada siapa. Ia diisytiharkan sebagai kos pengurusan tetapi tiada butiran ke mana atau kepada siapa fee itu dibayar.

Taliwork Langkawi Sdn Bhd (TLSB)

Bayaran semasa Kerajaan Negeri Kedah berdasarkan perjanjian kontrak kepada TLSB setahun adalah RM58 juta sedangkan kutipan SADA berdasarkan harga semasa bil air berdasarkan kohort dan kategori pemegang akaun air di Langkawi hanya RM28 juta setahun. Terpaksa bayar setiap meter padu RM2.80 sen sedangkan kutipan antara RM0.55 hingga RM1.30 sen semeter padu berdasarkan kategori akaun.

Kerajaan terpaksa top-up lebih kurang 30 juta setahun sepanjang perjanjian penswastaan selama 25 tahun sedangkan insfrastruktur bekalan air disediakan oleh Kerajaan melalui pinjaman.

Lima LRA baru sebagai keperluan mendesak mengatasi masalah bekalan air

Daripada lima LRA yang telah diluluskan peruntukan oleh Kerajaan Pusat sama ada melalui hutang atau geran (yang tidak dapat dijelaskan hingga sekarang), empat (4) LRA telah dibuka tender oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah sebagai agensi bertanggungjawab bagi pihak Kerajaan Negeri.

LRA Plubang Fasa 2 tidak ditender atas sebab apa? Ini menimbulkan persoalan bahawa ini adalah jalan belakang untuk mengekalkan konsesi rawatan air kepada pihak yang akan diberikan Kontrak membina LRA Plubang secara Private Initiative Fund (PFI).

Ada maklumat daripada sumber Kerajaan bahawa Kerajaan sedang berurusan untuk mendapatkan kebenaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyambung konsesi rawatan air kepada syarikat tertentu. Mohon hal ini dijelaskan. Jika benar, PAS Kedah akan menggerakkan bantahan besar-besaran seluruh negeri untuk menggagalkan sebarang usaha ke arah itu.

Kenapa JKR menjadi agensi bagi pihak Kerajaan Negeri sedangkan SADA telah wujud menggantikan JBA melalui Perjanjian Pengkopratan yang ditandatangani oleh SADA dan Kerajaan. SADA memiliki semua kepakaran untuk membina dan mengoperasikan LRA, juga telah menjadi agensi pelaksana dalam pembinaan LRA Kulim Hi-Tech Park beberapa tahun lalu.

Dalam Perjanjian Pengkopratan jelas dipersetujui bahawa projek-projek pembangunan infrastruktur akan diurus dan dikawal selia oleh SADA, bukan lagi Kerajaan Negeri.

JKR (Air) telah dijumudkan sejak berpuluh tahun, sejak operasi bekalan air dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Negeri-negeri seteruskan syarikat koprat milik Kerajaan Negeri. Adakah wujud krisis keyakinan Kerajaan Negeri kepada SADA?

Ataupun struktur dan roadmap SADA sendiri dirosakkan oleh tangan-tangan hitam supaya timbul krisis kebolehpercayaan kepada agensi itu. Atau agensi itu dipenuhi oleh individu yang tiada upaya tetapi berada di sana melalui usaha mengampu dan menjilat kuasa politik?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Ketua Pembangkang DUN Kedah – HARAKAHDAILY 23/1/2020

Advertisement