Boling Piala YDP PAS Batu Gajah meriah

BATU GAJAH: PAS Kawasan Batu Gajah telah menganjurkan Pertandingan Amal Boling Piala Yang DiPertua PAS Batu Gajah 2020 yang terbuka kepada orang ramai di Ampang Superbowl D’ Mall, Seri Iskandar, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Program julung kali dianjurkan ini berjaya mengumpulkan 64 peserta lelaki dan perempuan daripada pelbagai latar belakang fahaman politik serta ahli keluarga peserta yang turut hadir sebagai penyokong.

Tujuan program ini adalah berusrah santai, berkenalan dan menjalin ukhuwah serta mendekatkan PAS dengan masyarakat setempat, selain turut mengumpulkan dana amal PAS Amal Care bagi misi kebajikan dan pembangunan PAS Batu Gajah.

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Naib Yang DiPertua PAS Batu Gajah, Prof Dr Ustaz Nuri Al-Amin Endut yang dalam ucapannya menyeru kesatuan umat terutama dalam membela celaan atas agama, selain mempertahankan negara dari segala kekacauan.

“Keamanan adalah syarat untuk kemakmuran sesebuah negara. Kemakmuran merujuk kepada taraf hidup, di situlah muamalat, ekonomi umat Islam berkembang, zakat meningkat dan kitaran itu berlaku dengan sihat. Itulah makna Islam yang syumul, yang diperjuangkan oleh PAS,” tambah beliau.

Hadir sama adalah Ketua Muslimat PAS Batu Gajah, Baini Mohd dan Ketua Wanita Umno Batu Gajah, Mazlina Musa, manakala penutup disempurnakan Timbalan Yang DiPertua PAS Batu Gajah, Zainudin Saad. – HARAKAHDAILY 23/1/2020