PAS santuni kaum Tionghua di DUN Kubu Gajah

LARUT: Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah melalui Sekretariat DUN bersama Dewan Muslimat PAS Kawasan Larut telah mengadakan Ziarah Kebajikan khususnya kepada kaum Tionghua di Redang Panjang, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Program sempena menjelangnya Tahun Baharu Cina ini bertujuan menyantuni masyarakat tersebut dengan menyampaikan sumbangan kepada mereka hasil pemberian daripada para dermawan.

Dipimpin sendiri ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya, program ini juga disertai Ketua Muslimat PAS Larut, Ustazah Noraini Salleh dengan membuat kunjungan ke kediaman masyarakat kaum Tionghua.

Turut dilawati adalah Ketua Kaum Masyarakat Cina, Lee Chong Wah di mana membalas keraian tersebut dengan penghargaan kepada pihak Ustaz Khalil atas sumbangan berupa barangan dapur yang diberikan.

Dikesempatan tersebut, rombongan turut mendengar pengaduan daripada mereka mengenai pelbagai masalah kehidupan, termasuk yang meluahkan mengenai keluarganya menumpang sewa di atas tanah orang lain.

Sementara itu, Ustaz Khalil terus berharap agar para dermawan terus memanjangkan sumbangan mereka yang boleh dibuat ke akaun Maybank 1580 5191 1775 atas nama Dana Prihatin Kubu Gajah. – HARAKAHDAILY 23/1/2020