Pertikai aktiviti agama di sekolah: Waspada jarum Liberal

SAYA menggesa semua pihak agar berhati-hati dengan jarum halus kelompok Liberal yang mempertikaikan program-program keagamaan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai mengganggu fokus pembelajaran.

Pertikaian yang remeh-temeh tersebut pada asasnya sengaja dicipta bagi menimbulkan rasa tidak senang masyarakat terhadap pengajaran dan pengamalan agama Islam di sekolah.

Pada tahun lalu, wujud pertikaian mengenai bacaan doa di sekolah kebangsaan yang ditonjolkan sebagai terlalu nampak beragama. Malah, beberapa tahun sebelum itu juga pertikaian terhadap solat berjemaah Zohor di sekolah sebelum pulang ke rumah dibangkitkan oleh sesetengah pihak dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Pandangan skeptikal terhadap agama yang dibawa kelompok ini cuba untuk memburukkan agama selain memisahkan ajaran agama daripada diajar dan diamalkan di sekolah-sekolah. Jarum halus seperti ini sebenarnya semakin merebak dan terus meracuni pemikiran umat Islam pada hari ini.

Oleh itu saya menggesa umat Islam agar berhati-hati dengan jarum Liberalisme. Gambaran buruk yang cuba ditonjolkan kepada ajaran dan amalan agama seperti itu harus ditolak sepenuhnya.

Saya juga turut mengharapkan ketegasan pihak sekolah untuk terus melaksanakan program-program keagamaan di sekolah. Percayalah kerosakan sosial anak muda hari ini tidak lain hanyalah disebabkan kefahaman dan pengamalan agama yang lemah dalam kalangan mereka.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 23/1/2020

Advertisement