Rekod jenayah pembunuhan Amerika

KERJA Amerika

(1)     Sebuah artikel diterbitkan oleh Global Research bertarikh 22 Mac 2018 oleh James A. Lucas bertajuk U.S. Regime Has Killed 20-30 Million People Since World War II.

Tulisan ini mencatatkan sejarah-sejarah perang yang dicetuskan oleh Amerika, sama ada dalam bentuk fizikal, psywar atau pendanaan.

(2)      Perang yang dimaksudkan ialah Afghanistan, Angola, Bangladesh, Argentina, Bolivia, Brazil, Kemboja, Chad, Chile, China, Colombia, Cuba, Congo dan lain-lain.

Berbillion Dollar dihabiskan untuk menjahanamkan negara-negara tersebut, memperalatkan rakyat-rakyatnya, dan merembat kekayaan negara-negara tersebut.

(3)     Penulis menggambarkan bahawa Amerika sangat banyak menggunakan CIA dalam mencetuskan peperangan tersebut, dengan agenda-agenda yang terancang.

Contohnya melaga-lagakan antara Iran dan Iraq pada 1980-1988 yang pernah saya nyatakan sebelum ini. Korban Iran seramai 262,000 manakala Iraq seramai 105,000.

(4)     Antara yang terburuk dalam sejarah ialah Perang Korea. Iaitu pertembungan Korea Utara dan Korea Selatan hasil kegilaan persaingan antara Amerika dan Soviet.

Perang yang terjadi antara 1950-1953 mencatatkan jumlah angka kematian 2 hingga 3 juta korban. Antara rekod perang proksi yang dahsyat.

Pengganas bertopeng pengaman

(1)     Dalam Perang Dunia Kedua, antara tindakan yang agak tidak berperikemanusiaan ialah menggugurkan 2 bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945.

Dua bom ini mengorbankan 226,000 korban, kebanyakannya ialah orang awam. Sehingga kini belum berbunyi suara yang mengheret Amerika ke mahkamah dunia.

(2)     Amerika sering mempamerkan diri mereka sebagai Mr Nice Man, iaitu sebagai pengaman. Mereka masuk campur politik negara-negara orang atas alasan memerangi keganasan.

Hakikatnya merekalah yang mencetuskan perang. Secara khususnya artikel tersebut mendedahkan penglibatan Amerika dalam 37 buah negara yang berakhir dengan jumlah korban 20-30 juta manusia.

(3)      Angka korban angkara Amerika tidak di‘up’ secara meluas, bagi menggambarkan dasar Amerika yang kononnya membawa agenda kebebasan Liberal. Mereka mula mempromosikan demokrasi pada 1983.

Mereka mempromosi demokrasi melalui badan-badan yang ditubuhkan. Dalam masa yang sama mereka juga menyelinap ke negara-negara yang disasarkan, untuk cetuskan perang.

(4)    Media-media tajaan Barat akan menggambarkan bahawa ia adalah Perang Saudara. Manakala tindakan Amerika digambarkan sebagai hero menghentikan krisis tersebut.

Game Amerika yang berleluasa ini biasanya menggunakan frame yang sama. Tetapi manusia khususnya Umat Islam, tetap ditipu berkali-kali kerana tidak belajar sejarah.

Afghanistan – Iran – Iraq

(1)     Dalam pertembungan antara Soviet dan Afghanistan, boleh dikatakan bermula dengan kesangsian Soviet terhadap Afghanistan dan konfliknya panjang.

Amerika secara psywarnya telah mensaraf Soviet menyerang Afghanistan di era awal 80-an. Peperangan tersebut menyebabkan Soviet mengalami kerugian dan kematian yang dahsyat.

(2)     Akhirnya Soviet berundur pada 1989 dengan jumlah korban mangsa perang ini mencecah 2 juta orang awam. Bayangkan  permainanan Amerika yang mengorbankan angka sebesar ini.

Ramai penganalisis menyatakan bahawa keruntuhan Soviet pada 1991 disebabkan peperangan mereka di Afghanistan. Bahkan Amerika berbangga ‘menaja’ perang ini dengan kos 5-6 Billion Dollar.

(3)     Dalam sengketa antara Amerika dan Soviet, bangkitnya Iran menjatuhkan Shah Iran yang dilihat merupakan proksi Amerika pada 1979. Namun, dikekang dengan sengketa Iran-Iraq sepertimana yang diceritakan tadi.

Dalam pertembungan Soviet dan Amerika ini, pendirian Iran boleh dipuji. Mereka menolak blok Amerika, dan dalam masa yang sama melakukan kempen Anti-Soviet.

(4)     Iran membina bloknya sendiri, walaupun disepit oleh Iraq yang diperalatkan oleh Amerika. Namun, setelah Iraq membunuh 262,000 orang Iran, Iraq diserang pula oleh Amerika pada 1991.

Umat Islam tertipu dengan permainan Amerika. Setelah Iran dibunuh oleh Iraq yang juga orang Islam, akhirnya Amerika ‘menghabiskan’ Iraq sehinggalah akhirnya Saddam ke tali gantung.

Korban Iraq – Amerika

(1)     Krisis Iraq cukup menjadi pengajaran besar buat Umat Islam agar tidak menjadi alat boneka Amerika. Amerika yang peralat Iraq untuk serang Iran.

Kemudian apabila Iran sudah berjaya dikekang, Amerika menyerang Iraq atas alasan menyekat keganasan Iraq terhadap Iran. Amerika dilihat sebagai hero.

(2)     Pada tahun 1995 Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB melaporkan bahawa sekatan PBB terhadap Iraq telah menyebabkan kematian lebih daripada 560,000 kanak-kanak sejak 1990.

Pada tahun 1999 UNICEF melaporkan bahawa 5,000 kanak-kanak mati setiap bulan akibat daripada sanksi dan perang Iraq-Amerika

(3)     Richard Garfield kemudiannya menganggarkan bahawa jumlah kematian Iraq di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dari 1990 sehingga Mac 1998 menjadi 227,000.

Hingga tahun 2000, Garfield menganggarkan bahawa bilangan itu mencecah 350,000 kanak-kanak. Bahkan perang Iraq dan Amerika disambung semula pasca 11 September 2001.

(4)     John Hopkins selepas daripada itu membuat anggaran kematian rakyat Iraq dalam pertempuran dengan Amerika meningkat kepada 654,000.

Angka ini dahsyat jika dibandingkan dengan sebuah kebodohan yang merugikan. Amerika bertepuk tangan sebagai tanda kejayaan mereka mengekang kebangkitan Islam di Asia Barat.

Pakistan – Vietnam – Sudan

(1)     Pada tahun 1971 Pakistan Barat, sebuah negara bersistem autoritarian yang disokong oleh Amerika Syarikat, menyerang Pakistan Timur dengan cukup dahsyat.

Kedua-dua negara ini majoriti rakyatnya beragama Islam. Tetapi disebabkan permainan Amerika, Umat Islam berperang sesama sendiri

(2)    Pakistan Timur hari ini dikenali sebagai Bangladesh. Anggaran kematian yang cukup dahsyat di kalangan orang Islam mencecah 3 juta orang.

(3)     Sama juga di Vietnam. Pada 1964, Amerika mencipta serangan palsu terhadap kapal AS di Teluk Tonkin. Amerika menuduh ia adalah angkara Vietnam.

Lalu ia dijadikan alasan untuk Amerika menyerang negara itu. Menurut kenyataan Kerajaan Vietnam pada tahun 1995, jumlah kematian orang awam dan anggota tentera semasa Perang Vietnam adalah 5.1 juta.

Jumlah kematian di Kemboja dan Laos pula kira-kira 2.7 juta, menjadikan anggaran jumlah keseluruhan untuk Perang Vietnam adalah 7.8 juta orang.

(4)     Sudan tidak kurang juga, sejak merdeka 1955 hingga 2003 kematian akibat perang mencecah 2 juta orang. Selepas 2003, agenda Amerika dalam peristiwa Darfur sahaja mencecah 200,000

Banyak lagi catatan sejarah yang boleh dijadikan rujukan. Majoriti mereka yang terkorban adalah orang awam yang tidak tahu sebab apa mereka dibunuh.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/1/2020

Advertisement