SRITI Perak bimbing guru beri khidmat terbaik

TAMBUN: Tanggungjawab terhadap organisasi mestilah dilaksanakan dengan sempurna, malah guru-guru sebagai komponen utama sekolah mesti memahami bahawa SRITI yang lahir daripada rahim PAS turut berperanan menjayakan agenda dakwah dan tarbiyah.

Advertisement

“Guru merupakan golongan yang penting memikul tanggungjawab besar dalam membangunkan sesebuah tamadun manusia. Tanpa guru, masyarakat pasti akan sesat dan gagal menemui jalan kebenaran.

“Saya mengharapkan agar seluruh guru SRITI Perak dapat memberikan komitmen yang terbaik serta sentiasa berinteraksi dan turut melibatkan ibu bapa dalam aktiviti bersama,” ujar Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata demikian ketika hadir merasmikan Kursus Guru SRITI Siri 1 Peringkat Negeri Perak di Dewan SRITI Al-Istiqamah, Meru Raya, di sini baru-baru ini.

Kursus yang dihadiri seramai 55 guru baru SRITI seluruh negeri Perak dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran guru dalam bidang pendidikan sekali gus menjadikan guru SRITI agar lebih berkualiti.

Sementara itu, Pengarah SRITI Perak, Ustaz Zulfadli Zainal menegaskan bahawa kehadiran guru baru ini membuktikan komitmen dan kesediaan mereka membina kerjaya cemerlang dalam bidang pendidikan.

Katanya lagi, pendidikan bukanlah suatu bidang yang dilakukan secara membuta tuli tetapi memerlukan kemahiran serta teknik yang berkesan sejajar dengan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).

Menurut Timbalan Pengarah SRITI Perak, Ustaz Azuan Ali Aziz pula, para peserta kursus siri ini akan melayakkan mereka untuk menyertai kursus bagi siri 2 yang dijangka akan diadakan pada bulan Mac dan melengkapkan modulnya sepanjang tiga tahun.

Turut hadir menjayakan kursus tersebut, Timbalan-timbalan Pengarah SRITI Perak, Ustaz Luqmanulhakim Zahari dan Ustaz Muhamad Safari Mat Abas dan Setiausaha SRITI Perak, Ustaz Sharaf Md Suid. – HARAKAHDAILY 23/1/2020