Korona virus: K’jaan perlu bertindak proaktif

PANDUAN dari Allah

Manusia tidak boleh lari dari membuat keputusan baik untuk urusan dunia mahupun urusan akhirat. Islam mengajar kita membuat keputusan dengan memandang jauh bukan hanya untuk dunia semata, tetapi menilai dari sudut akhirat.

Maka wajib setiap keputusan ini untuk kita mohon panduan dari Allah. Allah Maha Tahu dan serahkan (tawakkal) kepadaNya.

Keputusan dibuat kerajaan untuk membenarkan warga China masuk tanpa visa dan apa kesannya kepada kita rakyat Malaysia? 95 peratus masuk ke Malaysia tiada rekod keluar. Malapetaka besar bakal terjadi kepada negara. Tetapi apakah Ahli Parlimen Kerajaan dan Menteri tidak nampak kesan buruknya kepada negara? Mustahil hanya rakyat dan Ahli Parlimen Pembangkang sahaja yang nampak malapetaka yang bakal terjadi?

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS dan pimpinan PAS yang lain meluahkan rasa kesal beserta fakta yang jelas. Apakah tidak nampak kesan yang bakal terjadi? Jangan kerana kuasa politik kita sanggup menggadaikan Tanah Melayu ini.

Apa yang terjadi kepada Kerajaan Islam Rakhine hampir 200 tahun dahulu (berakhir 1826), Kerajaan Islam Mindanao lebih 400 tahun dahulu dan Kerajaan Islam Pattani hampir 250 tahun dahulu ( berakhir 1785)? Kalau kita tidak sedar dan masih khayal dengan kuasa dan takhta, maka tidak mustahil kita boleh mengalami nasib yang sama.

Akhir-akhir ini, Allah S.W.T menghantar mesej supaya kita semua sedar terutama rakyat yang memilih, untuk memilih pemimpin yang menjadikan Agama panduan dan rujukan. Walaupun tanpa visa tetapi tentera Allah mampu menghalang. Walaupun kerajaan belum mengeluarkan arahan untuk menghalang, tapi sekurang-kurangnya kuarantin dilaksanakan.

PAS Negeri Sembilan menyeru kepada rakyat untuk sama-sama mendoakan supaya Malaysia amnya dan Negeri Sembilan khususnya dilindungi dari sgala malapetaka dan wabak penyakit.

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Lajnah Kesihatan
Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 24/1/2020

Advertisement